KUALA LUMPUR - Penglibatan sektor swasta, korporat dan syarikat-syarikat tempatan diperlukan bagi menjayakan visi dan aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50), kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, program berkaitan TN50 selama ini dianjurkan kerajaan namun ia memerlukan sokongan dan usaha daripada pihak lain juga bagi memastikan aspirasi dan pandangan yang diperoleh,  betul-betul mewakili semua segmen masyarakat.

“Proses TN50 itu menjadi proses yang bottom up (dari bawah ke atas), bukan hanya program rasmi kerajaan sahaja tetapi juga program dianjurkan peribadi dan dianjurkan bukan daripada kerajaan. Contohnya pada hari ini, apabila kita mendengar aspirasi eksekutif muda Petronas, kita juga mendengar pandangan yang mempunyai kelayakan tinggi, bekerja di sektor swasta, yang membawa perspektif baharu dalam membina masa depan Malaysia.

"Yang dibangkitkan hari ini adalah mengenai perpaduan, pendidikan, nilai-nilai kemasyarakatan, kemahiran rakyat Malaysia dan keselamatan tenaga serta masa depan sektor tenaga.

"Perbincangan yang sangat menarik kerana menyentuh bukan sahaja masa depan negara tetapi masa depan syarikat dalam sektor tenaga seperti Petronas,” katanya selepas sesi Dialog TN50 di sini.

Dialoga TN50 x: Profesional Muda Petronas Merencana Masa Depan itu turut dihadiri Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Khairy menjelaskan bahawa adalah sangat penting bagi kerajaan mendapatkan perspektif luar daripada skop kerajaan termasuk daripada syarikat besar, sederhana dan kecil untuk menjayakan TN50 itu.

TN50 adalah satu usaha untuk membentuk masa depan Malaysia bagi tempoh 2020 hingga 2050.

Kementerian Belia dan Sukan diberi tanggungjawab untuk mengumpulkan aspirasi TN50 daripada golongan belia sepanjang 2017, selepas pelan transformasi nasional selama 30 tahun itu diumumkan  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2017. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Syarikat pemaju perumahan disaran memperbanyakkan elemen hijau dan kawasan lapang dalam perancangan projek pembangunan mereka menjelang tahun 2050 ekoran generasi muda kini cenderung memilih kehidupan yang mesra alam.
  • KUALA LUMPUR - Sebanyak 60,000 aspirasi belia telah dikumpul sepanjang berlangsungnya program dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) sejak awal tahun lalu.
  • KUALA LUMPUR - Kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Transformasi Nasional 2050 (TN50) adalah amat menyedihkan dan dikesali kerana ia menunjukkan bahawa bekas perdana menteri itu menolak aspirasi kolektif golongan muda Malaysia, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
  • KUALA LUMPUR - Tahun 2017 menandakan langkah permulaan perjalanan gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50) dengan penganjuran pelbagai siri penglibatan dan aktiviti-aktiviti wacana bertujuan mencetuskan aspirasi rakyat dalam mencorak pelaksanaan gagasan itu kelak.
  • KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengarahkan Pesuruhjaya Sukan Datuk Zaiton Othman membuat laporan polis ke atas penganjur Klang City International Marathon, pada esok.