JOHOR BAHRU - Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sedih dan kesal dengan sikap segelintir masyarakat Melayu sendiri yang cuba menjatuhkan institusi raja.

Ketika menzahirkan pandangan itu menerusi mesej Twitter hari ini, baginda turut menyuarakan rasa bimbang terhadap nasib masyarakat Melayu sekiranya negara ini menjadi seperti Singapura.

“Saya rasa sedih dan kesal. Kenapa hanya orang Melayu sahaja yang cuba menjatuhkan Raja? Kenapa bangsa lain takda buang masa membuat benda bodoh dan lebih fokus terhadap untuk berjaya dalam hidup.

“Saya nak tengok apa akan jadi kepada Melayu kalau negara yang kita sayang ini jadi macam Singapura. Kalau dah susah, jangan sibuk nak mencari Raja,” tulis baginda lagi menerusi Twitter.

Baginda juga bertitah agar golongan berkenaan sedar dan menerima fakta selain belajar untuk menghargai apa yang dimiliki seterusnya bersyukur.

“Janganlah hidup dalam mimpi. Bangun dan hadapilah kenyataan. Belajar menghargai apa yang anda ada dan bersyukur. Sesungguhnya tidak ada penawar kepada kebodohan,” titah baginda.

Tunku Ismail melahirkan pandangan baginda ini di sebalik isu berkenaan kenyataan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkenaan dengan pembidaan plat nombor pendaftaran oleh Sultan Johor, masih hangat diperkatakan.

Awal minggu ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka terhadap Mohammad Nizar berhubung isu itu.

Sehubungan itu, baginda bertitah mengingatkan kepada wakil-wakil rakyat dan pemimpin masyarakat supaya menjaga adab dan tingkah laku serta berhati-hati apabila membuat sesuatu kenyataan bak kata pepatah ‘cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar’.

Semalam, Mohamad Nizar menghantar surat permohonan untuk menghadap Sultan Johor.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Rumah Ngaji Johor mensasarkan 5,000 remaja di negeri ini mempelajari teknik tadabbur dan tazakkur al-Quran pada tahun depan.
  • JOHOR BAHRU - Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menegaskan perpaduan di kalangan ibu bapa dan guru amat perlu bagi memastikan negara dapat melahirkan pelapis yang mampu mencorak negara ke arah yang lebih baik.
  • JOHOR BAHRU - Sinar Harian edisi Johor menang Anugerah Media Johor 2016 bagi kategori Anugerah Berita Ekonomi Terbaik.
  • JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengesan 13 kes pelanggaran undang-undang dalam operasi bersepadu melibatkan kenderaan seperti bas dan lori di Tol Skudai Arah Selatan hari ini.
  • JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi perkenan terhadap pembinaan jajaran jambatan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) setinggi 25 meter yang akan merentasi Selat Johor secara lurus bagi menghubungkan Woodlands, Singapura ke Bukit Chagar, Johor Bahru.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.