KUALA LUMPUR - Keutamaan perlu diberi terhadap usaha menambah baik tempat tarikan pelancongan agar pelancong berminat untuk mengunjunginya, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, hari ini.

Menurut beliau, tiada gunanya berbelanja untuk mengadakan promosi pelancongan sekiranya tiada aktiviti menarik yang boleh dilakukan pelancong di tempat berkenaan.

"Keutamaan kami sekarang ialah menambah baik aset negara terlebih dahulu kerana sesetengahnya kini berada dalam keadaan uzur," kata beliau pada sidang media bagi mengumumkan pertunjukan George Town Festival (GTF) tahun ini.

GTF, yang akan diadakan di George Town, Pulau Pinang dari 4 Ogos hingga 2 Sept ini, membuka tirainya dengan acara bertajuk ‘Kelantan: A Living Heritage’, yang akan diisi dengan lebih 100 persembahan serta pertunjukan seni visual untuk pengunjung.

Bakhtiar berkata menonjolkan bentuk  kesenian Melayu tradisional melalui pertunjukan pembukaan itu merupakan suatu cara menarik untuk mempamerkan bakat serta sejarah negeri berkenaan secara unik kepada pelawat tempatan dan asing.

Katanya, festival itu terus merupakan antara festival paling berprestij di Asia dan menghidangkan beratus acara tempatan dan antarabangsa selama sebulan.

"Lebih 70 peratus daripada acara yang akan dianjurkan itu tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pengunjung.

"Memandangkan festival itu kini menjadi platform bagi mengetengahkan seni tempatan dan antarabangsa, saya percaya ia akan memperkukuhkan lagi usaha memelihara, memulihara dan melindungi seni, bduaya dan warisan  negara," katanya. - Bernama