Rais bakal didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh esok

MELAKA - Bekas Senator Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim bakal didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Jumaat berhubung pertuduhan di bawah Akta Hasutan berkaitan krisis institusi diraja Negeri Sembilan.
Berdasarkan semakan, kes berkenaan akan didaftarkan dan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 2 Ayer Keroh, Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Ia dipercayai berhubung memasyhurkan Tunku Nazaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dalam satu majlis di sebuah hotel di Melaka pada 5 Jun lalu.
Rais yang juga Pengerusi Parti Wawasan Negara sebelum ini lantang mengulas kemelut membabitkan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Pada September lalu, beliau antara lain menyuarakan pandangan berhubung kedudukan institusi diraja serta campur tangan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kemelut berkenaan.
Pada Julai lalu, dua darjah kebesaran Negeri Sembilan yang dikurniakan kepada Rais turut ditarik balik berkuat kuasa serta-merta atas titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
