Melayu bukan pendatang tetapi amal budaya merantau sejak ribuan tahun

Antara tetamu yang hadir memdengar ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Musyawarah Nasional-Membongkar Polemik Tanah Melayu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh hari ini. Foto Bernama
Antara tetamu yang hadir memdengar ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Musyawarah Nasional-Membongkar Polemik Tanah Melayu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh hari ini. Foto Bernama
A
A
A

MELAKA -  Orang Melayu tidak wajar dilabel sebagai pendatang di Kepulauan Melayu, khususnya di Tanah Melayu kerana sejarah masyarakat itu berkait rapat dengan tradisi merantau yang berlangsung sejak ribuan tahun.

Pengarah Pusat Pengajian Ketamadunan Melayu-Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, istilah pendatang bagi merujuk kepada orang Melayu adalah tidak tepat kerana tidak mengambil kira sejarah, budaya, dan hubungan geografi masyarakat di rantau ini.

Beliau berkata, pergerakan masyarakat Melayu antara wilayah di Kepulauan Melayu perlu difahami sebagai sebahagian daripada tradisi merantau, bukannya penghijrahan yang boleh ditafsir semata-mata berdasarkan sempadan politik moden.

"Orang Melayu di Malaysia, Sumatera, dan Borneo bukan fenomena pendatang tetapi fenomena merantau. Antara kelompok yang turut mempunyai tradisi merantau ialah orang Cham. Kita jangan dipenjarakan oleh sempadan-sempadan politik, oleh sempadan-sempadan yang palsu," katanya.

Beliau berkata, tradisi merantau turut menghubungkan masyarakat Melayu daripada pelbagai wilayah, termasuk Luzon, Sumatera dan Sulawesi, yang mempunyai pertalian sejarah, budaya, dan bahasa, serta konsep balik kampung, iaitu kembali kepada tempat asal dan jaringan masyarakatnya.

Ahmad Murad berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam sesi membahaskan isu "Membongkar Polemik Tanah Melayu” pada Musyawarah Nasional 3.0 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.

Musyawarah Nasional 3.0 dirasmikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengasas Musyawarah Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Sementara itu, Pakar Perundangan Perlembagaan dan Undang-Undang Awam Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu A. Aziz berkata istilah dan kedudukan Tanah Melayu tidak pernah hilang seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, sebaliknya ia kekal termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.

Artikel Berkaitan:

"Perlembagaan itu adalah undang-undang yang mencipta negara kita, membentuk dan membina negara kita, bagaimana kita hidup bernegara.

"Justeru, nama Tanah Melayu bukan satu isu yang perlu dipolemikkan. Kita juga tidak tahu kenapa atau niat, motif untuk menyebut bahawa Tanah Melayu ini sudah hilang," katanya.

Beliau berkata, dalam Perlembagaan telah jelas termaktub Tanah Melayu dalam banyak peruntukan dengan dua istilah utama, iaitu "Negeri-negeri Tanah Melayu” dan juga "Semenanjung Tanah Melayu”.

Menghayati dan memahami seluruh peruntukan yang telah termaktub dalam Perlembagaan dapat meningkatkan kefahaman tentang asas negara, sekali gus dapat mempertahankan kedudukan negara.- Bernama 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!