Anugerah MIHAS 2026 angkat inovasi, pendigitalan industri halal

NIMS Adeliciousz Sdn Bhd menerima Anugerah Kecemerlangan Produk/Perkhidmatan sempena MIHAS 2026 yang berlangsung di MITEC Kuala Lumpur.
NIMS Adeliciousz Sdn Bhd menerima Anugerah Kecemerlangan Produk/Perkhidmatan sempena MIHAS 2026 yang berlangsung di MITEC Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Inovasi, kemampanan dan pendigitalan termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi antara elemen penting dalam menentukan daya saing syarikat dalam industri halal global.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perubahan itu turut diterjemahkan menerusi Anugerah Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 yang memberi penekanan lebih besar terhadap teknologi baharu serta keupayaan perniagaan mencipta nilai di peringkat global.

“Anugerah MIHAS bukan lagi sekadar mengiktiraf kecemerlangan yang dicapai hari ini, tetapi turut memberi pengiktirafan terhadap keupayaan yang akan mencorakkan industri halal masa depan.

“Tahun ini, kami memberikan penekanan lebih besar terhadap inovasi, kemampanan, pendigitalan dan teknologi baharu kerana semua elemen ini semakin penting dalam menentukan cara perniagaan bersaing dan mencipta nilai di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Anugerah MIHAS 2026 yang berlangsung sempena MIHAS 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) menyaksikan sebanyak 13 anugerah disampaikan menerusi tiga kategori teras utama.

Reezal Merican (empat dari kanan) menyampaikan Anugerah Bintang Harapan Kecemerlangan Produk/Perkhidmatan kepada Chocofac (Malaysia) Sdn Bhd pada Anugerah MIHAS 2026.
Reezal Merican (empat dari kanan) menyampaikan Anugerah Bintang Harapan Kecemerlangan Produk/Perkhidmatan kepada Chocofac (Malaysia) Sdn Bhd pada Anugerah MIHAS 2026.

Ia merangkumi Anugerah Kecemerlangan; Anugerah Inovasi, Kemampanan dan Pendigitalan serta buat julung kalinya, Anugerah Wanita dalam Eksport (WiEX) bagi mengiktiraf perniagaan cemerlang yang diterajui wanita.

Antara penerima Anugerah Kecemerlangan Produk/Perkhidmatan ialah NIMS Adeliciousz Sdn Bhd bersama Industri Makanan Jati Sdn Bhd dan RK Mubaraka Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan:

Reezal Merican berkata, pemenang yang diiktiraf tahun ini menunjukkan daya tahan, kreativiti dan keupayaan berwawasan jauh yang diperlukan untuk mengharungi pasaran global yang berubah dengan pantas.

“Menerusi Anugerah MIHAS, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih banyak syarikat untuk berinovasi, menerima guna teknologi, bersaing di peringkat antarabangsa dan memberi sumbangan bermakna kepada pertumbuhan berterusan ekonomi halal global,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Abu Bakar Yusof berkata, kualiti dan kepelbagaian penyertaan tahun ini mencerminkan tahap kemajuan serta kematangan perniagaan dalam ekosistem halal.

Menurutnya, antara perkembangan paling menyerlah ialah peningkatan kesedaran terhadap kemampanan, pendigitalan dan teknologi baharu sebagai komponen penting dalam meningkatkan daya saing perniagaan serta menyokong pertumbuhan jangka panjang.

“Penyertaan yang diterima tahun ini menunjukkan perniagaan dalam ekosistem halal terus berkembang, berinovasi dan menyesuaikan diri bagi memenuhi tuntutan pasaran global yang berubah dengan pantas.

“Pengenalan Anugerah WiEX dan pemerkasaan kerangka penilaian memperluas lagi skop Anugerah MIHAS, manakala pengesahan bebas proses penilaian oleh juruaudit luar memperkukuh komitmen kami terhadap kredibiliti dan ketelusan,” katanya.

Bagi edisi kali ini, penilaian turut mengambil kira keupayaan syarikat memanfaatkan penyelesaian digital dan teknologi baharu termasuk AI bagi menambah baik produk dan perkhidmatan, meningkatkan proses perniagaan, memperluas capaian pasaran serta mewujudkan sumber nilai baharu.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!