Literasi pertahanan tingkat kefahaman, kesedaran rakyat terhadap keselamatan negara - Mohamed Khaled

KOTA KINABALU - Kementerian Pertahanan pada Sabtu melancarkan Program Literasi Pertahanan Nasional (LPN) bagi meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan kesedaran masyarakat mengenai pertahanan, keselamatan serta kedaulatan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perubahan landskap ancaman keselamatan, menuntut masyarakat mempunyai kefahaman yang lebih menyeluruh mengenai pertahanan negara, serta menyedari peranan yang boleh dimainkan oleh mereka kepada pertahanan dan kedaulatan negara.
"Di sinilah munculnya apa yang kita gelar sebagai literasi pertahanan. Ia satu kesedaran, satu ilmu dan satu kemahiran yang mesti dimiliki oleh setiap warganegara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Literasi Pertahanan Nasional di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini pada Sabtu.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman; Ketua Eksekutif MiDAS Laksdya Datuk Yusne Mokhtar; Setiausaha Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Awang Shaminan Awang Ashaari dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah, Datuk Yahya Sulaiman.
Mohamed Khaled berkata, masyarakat perlu memahami bahawa ancaman keselamatan kini semakin kompleks dan tidak lagi terhad kepada ancaman fizikal atau ketenteraan, malah turut wujud dalam ruang digital.
"Jadi atas sebab itulah kita mengadakan program ini (Program Literasi) kita nak bangunkan ketahanan rakyat dan bila adanya ketahanan rakyat, maka ia akan menjadi sebagai satu daya rintang,” katanya.
Beliau berkata, usaha meningkatkan literasi pertahanan perlu dilaksanakan secara berterusan supaya masyarakat lebih memahami isu pertahanan dan keselamatan serta peranan yang boleh dimainkan oleh mereka dalam menyumbang kepada pertahanan negara.
Mohamed Khaled berkata, Sabah dipilih sebagai negeri pertama bagi pelaksanaan program berkenaan sebelum ia diperluas ke seluruh negara.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata, tiga komponen utama dalam pertahanan negara iaitu pertahanan ialah pagar atau perisai negara, pertahanan ialah payung negara dan pertahanan juga berfungsi sebagai pasak atau pancang kepada sebuah negara yang berdaulat.
Beliau berkata, melalui agenda literasi pertahanan, kementerian mahu menyedarkan masyarakat bahawa terdapat banyak ruang dan cara untuk mengukuhkan ketahanan rakyat.
"Cara yang tidak memerlukan masyarakat untuk menjadi tentera atau mengangkat senjata,” katanya pelbagai program akan giat dianjurkan berkaitan kesedaran berkaitan isu-isu pertahanan.
"Kita mahu masyarakat faham dengan jelas bahawa isu-isu pertahanan tidak lagi bermula dengan kehadiran musuh di sempadan atau perairan negara. Sebaliknya, ancaman kedaulatan berada di mana-mana," katanya.
Program sehari itu melibatkan dua pengisian utama iaitu "Bicara Ancaman Kognitif” dan "Bicara Pahlawan Negara” yang memberi fokus kepada dimensi ancaman terhadap pemikiran dan persepsi masyarakat dalam persekitaran keselamatan semasa.
Sesi "Bicara Pahlawan Negara” pula melibatkan Mejar Jeneral (B) Datuk Dr Radzi Abd Hamid selaku moderator bersama empat orang ahli panel khas iaitu Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zain Mohd Said SP; Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid PGB; Pegawai Waren 1 (B) Freaddey Yojod dan Lans Koperal (B) Abdul Rahman Maidin.
Literasi Pertahanan Nasional merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pertahanan yang diterajui Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS), dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Inisiatif terbabit penting bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat, berkenaan peranan setiap lapisan masyarakat dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
