PERSADA bantu pendekkan tempoh menunggu pesakit

SHAH ALAM - Tempoh menunggu pesakit di fasiliti kesihatan awam dijangka dapat dipendekkan menerusi pelaksanaan inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) yang membolehkan perkongsian maklumat kesihatan dilakukan dengan lebih lancar dan bersepadu.
Malah, majoriti pesakit disasarkan menerima rawatan dalam tempoh kurang satu jam apabila inisiatif berkenaan dilaksanakan sepenuhnya kelak.
PERSADA merupakan kerjasama rentas kementerian antara Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ketersambungan di klinik kesihatan dan hospital di seluruh negara, selain menyokong pelaksanaan Rekod Perubatan Elektronik (EMR).

Ia turut meneroka penggunaan teknologi baharu bagi memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan.
Menerusi ketersambungan yang lebih baik, perkongsian maklumat kesihatan pesakit antara fasiliti dapat dilakukan dengan lebih lancar, sekali gus menjadi asas kepada aspirasi ‘Satu Individu, Satu Rekod Kesihatan’.
Pendekatan itu membolehkan rekod kesihatan pesakit diakses bagi menyokong kesinambungan rawatan apabila mereka mendapatkan perkhidmatan di fasiliti atau lokasi berbeza.
Pada masa sama, ia dijangka mewujudkan pengalaman rawatan lebih teratur selain membantu mengurangkan tempoh menunggu pesakit.
Pada Sabtu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil meninjau perkembangan pelaksanaan PERSADA di Klinik Kesihatan Padang Besar, Perlis.

Dalam lawatan berkenaan, beliau turut diberikan taklimat mengenai pelaksanaan inisiatif itu serta demonstrasi penyelesaian digital yang menyokong ekosistem kesihatan negara.
Ia termasuk penggunaan EMR dan aplikasi ketersambungan dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Pada Ogos lalu, PERSADA menerima peruntukan sebanyak RM1 bilion termasuk tambahan RM350 juta yang diumumkan kerajaan bagi memperkukuh ketersambungan, sistem digital serta infrastruktur sokongan rangkaian kesihatan awam negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

