Jangan terpedaya akaun palsu tawar pendaftaran bantuan kerajaan - Fahmi

KANGAR- Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan akaun media sosial yang menyamar menggunakan nama agensi kerajaan dan menawarkan pendaftaran bagi mendapatkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) atau bantuan kerajaan lain.
Beliau berkata, terdapat akaun melalui platform seperti TikTok yang menyalahgunakan jata kerajaan dan menggunakan grafik seolah-olah urusan pendaftaran bantuan berkenaan dikendalikan oleh agensi kerajaan.
"Jadi saya ingin menekankan bahawa sebarang maklumat terutama di media sosial kita harus semak silang dan buat semakan sama ada dengan media arus perdana ataupun dengan laman web rasmi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program MADANI Kita (PMK) 2026 di sini hari ini.
Fahmi berkata, sebarang permohonan atau pendaftaran untuk mendapatkan perkhidmatan dan bantuan kerajaan hendaklah dibuat menerusi saluran rasmi agensi berkaitan dan bukannya melalui pautan atau akaun media sosial yang tidak disahkan.
Beliau berkata, pengguna boleh memanfaatkan ciri kecerdasan buatan (AI) yang terdapat pada sesetengah platform untuk membantu membuat semakan awal terhadap sesuatu maklumat yang diragui.
Fahmi berkata, pengguna juga perlu lebih berhati-hati sebelum berkongsi kandungan di media sosial kerana banyak kandungan berkaitan penipuan dan maklumat palsu kini tersebar melalui platform berkenaan.
"Setakat ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah meminta platform media sosial menurunkan hampir 500,000 kandungan, yang sebahagian besarnya iaitu antara 85 dan 90 peratus terdiri daripada kandungan berkaitan penipuan dan judi dalam talian,” katanya.
Mengenai PMK, Fahmi berkata, program berkenaan merupakan inisiatif Kerajaan MADANI untuk mendekati rakyat, memahami keperluan dan isu setempat serta memperluas akses kepada perkhidmatan kerajaan secara langsung hingga ke peringkat akar umbi.
Antara pengisian yang memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat ialah Jualan RAHMAH, pameran dan kaunter perkhidmatan kerajaan, taklimat isu semasa, pertukaran topi keledar, saringan kesihatan dan pergigian, penukaran minyak enjin motosikal, rawatan kuku tangan serta perkhidmatan gunting rambut secara percuma.
Fahmi turut menyampaikan Bakul RAHMAH yang mengandungi makanan dan barangan keperluan asas kepada 100 penerima di kawasan Parlimen Kangar sebagai usaha meringankan beban mereka.
Turut hadir pada program itu Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Erwin Khairul Ahmad.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
