BATANG KALI - Seorang pengunjung tanpa sengaja merakam video detik kejadian lemas yang meragut nyawa seorang remaja di pusat perkelahan Sungai Kedondong, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.35 petang itu, mangsa, Muhammad Shazwan Norhan, 19, meninggal dunia akibat lemas manakala rakannya, Muhammad Hanif Ikhwan Sabarudin, 19, berjaya diselamatkan pengunjung lain.

Saksi, Ahmad Shahadeeb Haziq, 25, berkata, ketika kejadian dia sedang merakam video suasana di pusat perkelahan tersebut sebelum terlihat dan terdengar sekumpulan remaja menjerit meminta tolong.

Menurutnya, disangka jeritan itu hanya sekadar gurauan antara remaja berkenaan namun bergegas membantu selepas menyedari mangsa sebenarnya terkapai-kapai kerana lemas.

“Ingatkan mereka main-main tapi rupanya memang betul lemas maka saya terus terjun untuk selamatkan salah seorang mangsa.

“Saya hanya sempat selamatkan seorang saja mangsa yang mula-mula jerit minta tolong kerana seorang lagi sudah tenggelam di kawasan lubuk sungai.

“Mangsa yang berjaya diselamatkan itu berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya sebelum saya cuba bantu dengan menepuk belakang badan supaya sedar semula,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Penolong Penguasa Kamil Hamadan berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkam kejadian lemas itu pada jam 4.42 petang.

Menurutnya, anggota termasuk pegawai tiba lokasi di kejadian 10 minit kemudian sebelum berjaya menemui mangsa yang lemas dan dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu kira-kira jam 5.20 petang.

“Dalam kejadian ini, seorang mangsa meninggal dunia manakala seorang lagi berjaya diselamatkan oleh pengunjung dan enam yang lain selamat tanpa sebarang kecederaan.

“Kes diserahkan kepada pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.