KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram berpendapat, siasatan kes 1MDB sukar diselesaikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh setahun.

Beliau berkata, PDRM sudah pasti bakal berhadapan dengan pelbagai peringkat siasatan kerana kes itu melibatkan banyak proses transaksi dan beberapa negara.

Katanya, bukan mudah untuk polis menyiasat apa yang berlaku di tempat lain.

"Jadi kerana itu, saya kurang yakin (kes 1MDB) dapat diselesaikan dalam masa setahun.

"Saya harap polis akan siasat dengan teliti dan akan dapat bongkar segala maklumat, tetapi skandal ini begitu luas implikasi dan melibatkan ramai pihak,” katanya dipetik menerusi portal berita MalaysiaGazette hari ini, ketika ditemui media selepas merasmikan buku ‘Till Debt Do Us Part’ di Universiti Malaya, di sini.

[ARTIKEL BERKAITAN: RM2.973 bilion masuk ke akaun Najib]

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, siasatan kewangan kes 1MDB mendapati, RM2.973 bilion dikesan dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pihaknya mempunyai masa sehingga Mei 2019 untuk melengkapkan siasatan.

Dalam pada itu, Jomo berkata, pasukan penyiasat 1MDB juga perlu mengambil kira keberadaan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low kerana dijangkakan lebih banyak bukti akan terdedah sepanjang siasatan dijalankan.

“Bagaimana kita nak selesaikan sebab banyak perkara sebenarnya. Kes 1MDB ini bukan sesuatu yang mudah dibongkar. Katakan ada perjanjian yang dibuat dengan Jho Low dan dia buka rahsia yang baharu selama ini kita tidak tahu.

“Mungkin ada rahsia baru yang belum kita fikirkan lagi. Jadi saya harap apa yang PDRM janjikan itu dapat diselesaikan tapi memandangkan apa yang kita tidak tahu lagi banyak, saya kurang yakin (siasatan kes boleh diselesaikan dalam masa singkat)," katanya.