PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh isteri bekas Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor dan bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Rizal Mansor di mahkamah esok.

Melalui satu kenyataan SPRM memaklumkan, kedua-duanya akan dituduh berhubung siasatan kes membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak.

"Pendakwaan akan dijalankan pada 15 November 2018, jam 2.30 petang di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur,"menurut kenyataan tersebut.

Pada masa sama suruhanjaya itu turut mengesahkan Rosmah dipanggil di Ibu Pejabat SPRM, hari ini pada jam 12 tengah hari ini tadi bagi melengkapkan proses akhir siasatan dan pendakwaan tersebut.

[ARTIKEL BERKAITAN:  Rosmah akan didakwa esok]

Sementara itu, dalam kes berasingan, SPRM turut menahan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ianya  berhubung siasatan kes penjualan tanah DewanBandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pada jam 3.25 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, hari ini.

"Tengku Adnan akan dituduh bersama seorang ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon di

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada tarikh dan waktu yang sama esok, setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara,"kata kenyataan itu lagi.

[ARTIKEL BERKAITAN: SPRM tahan Ku Nan]

[ARTIKEL BERKAITAN: Rosmah didakwa dengan 17 pertuduhan]