PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah selesai menjalankan siasatan tempatan kali pertama berhubung bantahan terhadap Syor-Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi negeri Selangor, kata Pengerusinya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata, sebanyak 116 representasi bantahan yang layak telah dijemput hadir bagi mendengar dengan lebih lanjut bantahan mereka pada sesi siasatan yang diadakan pada 27 Disember hingga 9 Januari lepas itu.

Menurutnya, SPR telah menimbang semua representasi bantahan yang diterima daripada pihak-pihak yang layak dan turut menilai bantahan bertulis yang telah difailkan oleh pembantah yang gagal hadir ke sesi siasatan tempatan tersebut sebelum membuat apa-apa perubahan terhadap syor persempadanan bagi negeri Selangor.

Berikutan itu, SPR akan mempamerkan Notis Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Dalam Negeri Selangor sebagaimana yang telah dikaji semula oleh SPR Dalam Tahun 2018 selama sebulan bermula Isnin ini hingga 14 Februari depan di tempat-tempat yang dinyatakan di dalam notis yang akan disiarkan di akhbar-akhbar tempatan pada 15 Januari, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Hashim berkata notis untuk tujuan semakan dan bantahan bagi kali kedua itu juga akan disiarkan di laman portal rasmi SPR pada tarikh berkenaan.

Beliau berkata jumlah bilangan pemilih seramai 2,078,311 orang dalam Daftar Pemilih semasa yang telah diperakukan dan diwartakan pada 13 Mei 2016 masih digunakan sebagai asas dalam penyediaan syor kajian semula persempadanan itu.

Katanya, butiran mengenai syor yang dicadangkan akan dinyatakan dalam notis yang akan disiarkan itu di mana ia akan menunjukkan keseluruhan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri dalam negeri Selangor.

Satu salinan syor-syor yang dicadangkan itu berserta rang pelan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi negeri Selangor juga dipamerkan untuk pemeriksaan orang ramai semasa waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja di tempat-tempat seperti yang akan dinyatakan dalam notis yang disiarkan kelak, katanya.

Mohd Hashim berkata sebarang bantahan terhadap syor-syor tersebut, hanya boleh dibuat oleh pihak-pihak yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan sahaja, iaitu kerajaan negeri; mana-mana Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang keseluruhan atau sebahagian kawasannya termasuk di dalam bahagian-bahagian pilihan raya yang tersentuh oleh syor itu; atau sekumpulan orang seramai 100 atau lebih yang nama mereka ditunjukkan dalam daftar pemilih semasa bagi bahagian-bahagian pilihan raya berkenaan.

Setiap representasi membantah syor-syor yang dicadangkan itu hendaklah dikemukakan secara bertulis kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri Selangor dalam tempoh sebulan daripada penyiaran notis tersebut, katanya. - Bernama


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menafikan pernah menerima sebarang permohonan baharu daripada pihak tentera untuk mendaftarkan anggota mereka sebagai pemilih atau membuka lokaliti baru di Kem Paloh, Johor dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT) bagi suku keempat tahun 2017.
  • PUTRAJAYA - Sejumlah 3.6 juta rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas masih belum mendaftar sebagai pemilih setakat September tahun lepas, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh.
  • SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta meneliti semula dan mengekalkan persempadanan asal bagi kawasan Parlimen Petaling Jaya Utara (PJU).
  • KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan 48 pengundi berdaftar kawasan pilihan raya Parlimen Segamat bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman berhubung penggantungan kemasukan 949 nama ke dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Ketiga 2017 di kawasan itu oleh SPR.