GOLONGAN peniaga di Malaysia dan Thailand rata-ratanya setuju dengan keputusan kerajaan Kedah supaya pintu sempadan dengan Thailand di Bukit Kayu Hitam dibuka 24 jam berbanding 18 jam ketika ini.

Mereka beranggapan selain mempergiatkan industri pelancongan, langkah itu turut dapat mengurangkan masalah kesesakan lalu-lintas terutama membabitkan pengangkutan lori.

Tinjauan dilakukan wartawan Oriental Daily mendapati, peniaga di sekitar kawasan Bukit Kayu Hitam dan Danok, Thailand menyambut baik sekiranya pintu sempadan dibuka 24 jam kerana ia sememangnya menguntungkan kedua-dua negara.

Seorang pengusaha pengangkutan lori berkata, buat masa ini Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam tidaklah terlalu besar dan hanya beroperasi 18 jam sehari. 

"Pada sebelah petang, masalah kesesakan di kompleks ini kerap berlaku kerana banyak lori akan cuba sedaya upaya melepasi pintu kastam ini sebelum jam 10 malam. 

"Sekiranya pintu sempadan ini dibuka 24 jam, masalah ini tentu tidak akan timbul lagi," katanya.

Pintu sempadan di CIQ Bukit Kayu Hitam pada masa ini beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebelum ini berkata, langkah melanjutkan operasi pintu sempadan itu mendapat persetujuan perdana menteri pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-128 di Putrajaya, Februari lalu.

“Langkah itu bagi menggalakkan kemasukan pelancong asing dan kurangkan masalah trafik di CIQ terutama pada waktu puncak,” katanya.

Kewajaran pelajar bawa gajet ke sekolah

Golongan pendidik menyarankan kepada Kementerian Pendidikan supaya mengkaji sedalam-dalamnya mengenai cadangan membenarkan pelajar membawa gajet dan peranti elektronik ke sekolah.

Bekas Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Datuk Lok Yim Peng ketika memberitahu China Press, beliau berkata, sekiranya kerajaan meluluskan cadangan itu, yang penting ialah perlu memastikan segala kelengkapan dan infrastruktur seperti kemudahan WiFi di sekolah perlu berada di tahap memuaskan.

"Sehingga hari ini, didapati masih banyak sekolah yang masih belum dilengkapi WiFi. Kerajaan sepatutnya menyelesaikan masalah ini sebelum memikirkan untuk membenarkan pelajar bawa gajet dan peranti elektronik ke sekolah

"Selain itu, penyalahgunaan gajet dalam kalangan pelajar turut akan berlaku dan ini pastinya menimbulkan masalah disiplin pelajar," katanya.  

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan bercadang mewujudkan polisi bagi membenarkan pelajar membawa gajet dan peranti elektronik ke sekolah bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) seiring dengan pembangunan teknologi semasa.

Katanya, kajian cadangan itu akan siap dalam tempoh dua bulan sebelum kementeriannya membuat sebarang keputusan dan kementeriannya juga akan mengkaji kelajuan jalur lebar yang diguna pakai di sekolah termasuk sekolah luar bandar serta pedalaman. 

Semangat BN selesaikan isu RUU 355 

Dengan menggunakan amalan semangat BN hanya mampu menyelesaikan isu RUU 355 yang menjadi pertikaian antara parti komponen dalam BN.

Menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, semua parti komponen BN seperti MCA, Gerakan, MIC dan termasuk Umno Sabah menyatakan bantahan mereka terhadap RUU 355.

Katanya, semasa beliau menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, usul persendirian seperti itu tidak berpeluang dibentangkan di Parlimen kerana perlu mendahului usul kerajaan terlebih dahulu.

"Ada sesetengah pihak mendakwa Umno boleh menggunakan isu RUU 355 untuk bekerjasama dengan Pas tetapi saya tidak setuju dengan dakwaan ini. 

"Kenapa kita perlu merosakkan BN yang diwujudkan sejak berpuluh tahun lamanya semata-mata mahu bekerjasama dengan Pas?" katanya kepada Sin Chew Daily.

Katanya, Umno tidak mungkin bekerjasama dengan Pas kerana masing-masing mahu bertanding di kawasan majoriti Melayu.

"Pas mahu berebut kerusi dengan Umno, jadi bagaimana nak kerjasama?," soalnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SUNGAI PETANI - Bekas Panglima 6 Briged Brig. Jen Datuk Dzulkarnain Ahmad berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan oleh pasukan itu dalam memastikan sempadan negara dari Bukit Kayu Hitam hingga Baling tidak diceroboh.
  • MANILA - FILIFINA. Suara Malaysia dalam kalangan negara anggota Asean terus dihormati apabila beberapa cadangan baharu yang dikemukakan oleh negara pada Mesyuarat Menteri-menteri Asean mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-11 di sini diperakukan oleh para pemimpin dan delegasi negara anggota.
  • BUKIT KAYU HITAM - Bermula hari ini, Kompleks Kenderaan Berat (KKB) yang baharu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam bagi Fasa 1, dibuka bagi pergerakan kenderaan keluar masuk dari Thailand dan Malaysia.
  • BALING - Cadangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah membuka 24 jam pintu sempadan Bukit Kayu Hitam perlu diperhalusi secara mendalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.