PUTRAJAYA - Kerajaan prihatin terhadap perkhidmatan awam dan akan menyediakan Bajet 2018 yang terbaik untuk golongan penjawat awam, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

"Untuk penjawat awam, saya rasa kerajaan akan prihatin terhadap penjawat awam yang sentiasa menjalankan tugas dengan baik serta melaksanakan segala dasar-dasar kerajaan. Sama-sama kita tunggu pengumuman Jumaat ini,” katanya ketika ditanya mengenai jangkaan beliau pada Bajet 2018.

Ali ditemui pemberita selepas menyampaikan anugerah kepada 126 orang anak anggota Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) daripada seluruh negara di Majlis Anugerah Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat Jumaat ini.

Pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-15  (MAPPA XV) pada 3 Oktober lepas, perdana menteri berkata beberapa khabar gembira dan penambahbaikan untuk penjawat awam akan diumumkan dalam Bajet 2018.

Ditanya mengenai pencapaian penjawat awam, Ali berkata beliau amat berpuas hati dengan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) semua ketua ketiausaha, ketua jabatan, ketua pengarah dan ketua perkhidmatan dalam perkhidmatan awam sepanjang tahun.

"Saya dapati semua tercapai dan secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan prestasi mereka. Kita selalu menilai prestasi penjawat awam khususnya peringkat pengurusan tertinggi ini dari semasa ke semasa bagi memastikan segala hasrat dan tanggungjawab dilaksanakan,” katanya.  

Beliau berkata, pencapaian KPI itu menunjukkan trend meningkat setiap tahun. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu setiap kementerian bersiap sedia bagi memastikan apa yang direncanakan dalam Bajet 2018 mencapai matlamat dan sampai kepada rakyat semuanya.
  • TENOM - Pemuda Umno Malaysia mencadangkan supaya peruntukan RM1 billion yang diumumkan kerajaan dalam Bajet 2018 bagi membiayai kerja baik pulih sekolah daif di Sabah diserahkan terus kepada pejabat pendidikan negeri.
  • KUALA LUMPUR - Persepsi bahawa perbelanjaan mengurus sebanyak RM234.25 bilion dalam Bajet 2018 hanya untuk pembayaran gaji atau emolumen perlu diperbetulkan kerana peruntukan untuk komponen itu termasuk pencen dan gratuiti hanya membabitkan sekitar 44 peratus daripada jumlah tersebut.
  • KUALA LUMPUR - Jumlah hutang Kerajaan Persekutuan pada akhir Jun 2017 adalah sebanyak RM685.1 bilion atau 50.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
  • PUTRAJAYA - Jawatankuasa kerja bagi memantau pelaksanaan program dan projek yang diperuntukkan menerusi Bajet 2018 akan mengadakan mesyuarat pertamanya dalam tempoh dua minggu dari sekarang, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.