SHAH ALAM - Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak bagi membincangkan isu berkaitan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Menterinya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pertemuan bersama 34 orang yang mewakili 10 NGO Islam, wakil mahasiswa, ahli akademik serta para peguam pada malam tadi bagi membincangkan tentang isu itu berjalan lancar.

Katanya, pertemuan yang diadakan selama hampir kira-kira tiga jam bertempat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin,Putrajaya, itu berlangsung secara harmoni dengan semua pihak melontarkan pandangan, cadangan dan ada juga yang menyatakan kebimbangan sekiranya Malaysia meratifikasi ICERD.

"Saya mendengar dengan teliti dan amat menghargai segala input yang diberi oleh semua pihak yang hadir pada malam tadi.

"Antara rumusan yang boleh saya buat berhubung pertemuan malam tadi ialah, tiada sesiapa mahu menggadaikan prinsip negara serta menjejaskan agama Islam sebagai identiti negara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: ICERD: Amaran untuk kerajaan PH]

[ARTIKEL BERKAITAN: Bantah ICERD: Peserta himpunan mula penuhi Masjid Jamek]

Katanya lagi, selaku menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam, hasil pertemuan pada malam tadi akan dibawa kepada pihak berwajib agar penelitian dapat dilakukan.

"Ia selari dengan pendirian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar rundingan dilakukan terlebih dahulu sebelum menandatangani ICERD," katanya.

Sebelum ini beberapa pihak menyatakan kebimbangan mengenai perkara ini,kerana diyakini akan 'menggangu gugat' Perlembagaan negara sekiranya kerajaan meratifikasinya.

[ARTIKEL BERKAITAN: ICERD rugikan Melayu]

[ARTIKEL BERKAITAN: ICERD: Malaysia tidak lagi berada dalam 'acuan' sendiri]