KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bantuan kerajaan terdahulu kepada rakyat bukan pemberian wang percuma.

Sebaliknya Najib berkata, ia pemberian balik kerajaan kepada rakyat susulan peningkatan pendapatan kerajaan melalui kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Oleh kerana pendapatan kerajaan meningkat, maka kita pulangkan kembali untuk menolong rakyat yang memerlukan.

“Ia bukan wang percuma namun jika tindakan saya mengagihkan wang dari ekonomi gelap, golongan kaya dan yang mengelak cukai untuk menolong rakyat yang memerlukan adalah suatu perbuatan haram, maka saya sudah berdosa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pentadbiran sebelum ini menjadikan rakyat bersikap suka berharap duit percuma sedangkan kerajaan sekarang kekurangan duit ekoran membayar balik hutang kerajaan terdahulu.

Najib menambah, keadaan kerajaan sekarang semakin teruk apabila menetapkan kadar sifar GST, Jun lalu.

“Penelitian saya dari laporan di laman BNM terkini menunjukkan walaupun harga minyak global masih tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini, pendapatan kerajaan untuk bulan Jun 2018 adalah RM14.1 bilion jauh lebih rendah dari RM20.9 bilion pada bulan Mei 2018 akibat GST disifarkan.

“Keadaan bertambah teruk kerana kerajaan PH tidak menjangkakan peningkatan mendadak tuntutan balik GST yang perlu dibayar sebaik ia disifarkan kerana peniaga kini boleh menuntut kesemua cukai input GST bahan mentah mereka serta merta sama ada mereka membuat jualan atau sebaliknya,” katanya.

Menyentuh soal GST, Najib berkata pendapatan negara di bawah pemerintahannya dulu meningkat setiap tahun hasil kutipan GST yang merupakan antara kadar terendah di dunia.

“Sebagai contoh, GST berjaya mengutip RM27 bilion pada tahun 2015 dan meningkat kepada RM44 bilion tahun lepas. Peningkatan kutipan ini ialah kerana ekonomi dan pendapatan rakyat semakin meningkat. Bila rakyat ada pendapatan yang lebih, kemampuan untuk belanja juga meningkat.

“Di bawah GST, ahli perniagaan kaya dan ekonomi gelap tidak lagi dapat mengelak dan melarikan diri dari cukai atau terlibat dalam pengeluaran kapital dari Malaysia secara haram seperti yang mereka lakukan di bawah SST.

“Pada masa yang sama, kita telah berjaya mengutip banyak wang dari orang kaya yang berbelanja lebih di bawah GST berbanding dengan orang miskin kerana terdapat banyak pengecualian kerana itulah kutipan GST lebih berbanding SST,” katanya.