PUTRAJAYA - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menerima aduan daripada tiga pertubuhan yang mendakwa logo serta nama mereka menyerupai kumpulan kongsi gelap yang diumum Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah ROS Datuk Abdul Rahman Othman enggan mendedahkan nama pertubuhan berkenaan, dua daripadanya didaftar di Sabahb manakala satu lagi di Semenanjung.

"Kita akan meneliti dan menyiasat perkara ini, perkara ini tidak sepatutnya berlaku," katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan sijil Pendaftaran Pertubuhan kepada 20 pertubuhan baharu politik di pejabat beliau hari ini.

Abdul Rahman berkata anggota pertubuhan terbabit membuat aduan selepas  pendedahan oleh KDN Khamis lepas, yang mengumumkan 49 kumpulan kongsi gelap yang dikategori haram mengikut Seksyen 5(1) Akta Pertubuhan 1966 pada 28 Ogos 2013 melalui pewartaan P.U.(A) 272/2013.

Selepas pengisytiharan itu, tiada individu atau pihak boleh menggunakan semula nama berkenaan untuk didaftar sebagai pertubuhan.

Mengulas pertubuhan dari kalangan kaum Cina yang menggunakan logo menyerupai 49 kumpulan yang diharamkan itu, beliau berkata pihaknya akan mendapatkan pengesahan polis terlebih dahulu.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata pihaknya tidak pernah menerima sebarang kenyataan hitam putih berhubung pemilihan semula jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP.

Terdahulu, 11 daripada pertubuhan politik baharu ialah dari Sabah iaitu Parti Kebangsaan Sabah (PKS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Baru), Parti Gagasan Bersama Rakyat Sabah (Parti Bersama), Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan), Parti Kebenaran Sabah (Kebenaran).

Parti Bersatu Bugis Sabah, Parti Ekonomi Rakyat Sabah (Pers), Parti Pembangunan Warisan Sabah, Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah (Sapu) dan Parti Damai Sabah (Parti SPP).

Lima dari Sarawak iaitu Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru), Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (Persb) dan Parti Rakyat Gabungan Jaksa pendamai.

Empat parti politik baharu di Semenanjung ialah Parti Keadilan India Malaysia (MIJP), Parti Generasi Baru (Newgen Party), Parti Nasional Malaysia (MNP) dan Parti Nasional Penduduk Malaysia. - Bernama