SHAH ALAM - Sambil mengalu-alukan kesediaan Datuk Seri Najib Tun Razak mendengar keluhan publik berhubung Seksyen 114A Akta Keterangan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan perlu membabitkan semua pihak berkepentingan dalam perbincangan bakal diadakan.

"Apabila membuat pindaan kali ini, kerajaan perlu mengadakan perundingan dengan pihak-pihak berkepentingan seperti (Pusat Bagi Kewartawanan Bebas) CIJ dan Majlis Peguam.

"Mereka memberitahu saya yang mereka sedia berbincang demi kebaikan semua," kata ahli Majlis Tertinggi Umno ini kepada Sinar Harian Online.

"Saya sedia mengaturkan perundingan itu," kata beliau mengulas perkembangan terbaru berkaitan dengan protes ke atas Seksyen 114A Akta Keterangan yang dipinda April lalu dan dikuatkuasakan dua bulan kemudian.

Malam tadi, Perdana Menteri berkata, beliau telah meminta Kabinet agar membincangkan Seksyen 114A Akta Keterangan, ekoran bantahan dan kritikan pelbagai pihak - pemimpin Barisan Nasional (BN), Pakatan Rakyat (PR) dan pertubuhan bukan kerajaan.

Menerusi mesej Twitternya dari Makkah, Najib berkata, sebarang tindakan kerajaan seharusnya mengutamakan kepentingan rakyat - selari dengan slogan 1 Malaysia beliau.

"Apa saja kita lakukan, kita harus mengutamakan rakyat," kata beliau.

Kabinet akan mengadakan mesyuarat mingguannya pagi ini, akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib membuat pendirian itu ketika berlangsungnya kempen protes  #STOP114A selama 24 jam semalam - menggesa Kerajaan Pusat mengkaji semula Seksyen 114A Akta Keterangan, yang dikuatkuasakan sejak Jun lalu.

Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Keterangan pada bacaan kedua April lalu, Nazri berkata, penggunaan Internet membolehkan sesiapa sahaja menyembunyikan identiti sebenar mereka dan ini menjadikan masalah ketanpanamaan pelaku kesalahan jenayah satu halangan paling besar dalam menangani jenayah siber dilakukan melalui internet seperti
menghasut, menipu, menghina mahkamah, menceroboh dan mencuri maklumat.

Katanya, pelbagai teknik digunakan oleh penjenayah untuk menyembunyikan identiti dan ada kalanya mustahil untuk menentukan punca sebenar sesuatu e-mel atau komunikasi elektronik yang lain.

"Penyelesaian bagi masalah ini ialah dengan mengalihkan tumpuan kepada pihak lain yang boleh dikenal pasti seperti pemilik komputer, pemilik alamat IP, pemilik alamat e-mel dan pemilik kelengkapan dan peralatan yang daripadanya kesalahan jenayah dilakukan, dan mengenakan anggapan liabiliti ke atas mereka tanpa mengira bahawa penglibatan mereka adalah secara langsung atau tidak langsung," kata beliau.

Justeru, Nazri berkata, tujuan peruntukan anggapan berasaskan 'owner-onus principle' adalah untuk meringankan beban pembuktian berhubung dengan fakta tertentu.

Bagaimanapun, katanya, pihak pendakwa raya yang ingin bersandar kepada peruntukan anggapan mesti membuktikan terlebih dahulu kewujudan fakta-fakta tertentu sebelum anggapan boleh dibuat terhadap seseorang.

Katanya, pindaan pada Rang Undang-Undang Keterangan memperlihatkan pindaan pada Fasal 2 yang bertujuan menggantikan tarif komputer dengan takrif komputer yang baru yang lebih komprehensif dan selaras dengan takrif komputer dalam Akta Jenayah Komputer 1997.

Sementara itu, Fasal 3 Rang Undang-Undang tersebut memperuntukkan supaya memasukkan seksyen baru 114A bagi membolehkan mahkamah membuat anggapan fakta dalam kes yang melibatkan penyiaran melalui Internet.

Mengulas lanjut, Saifuddin memberitahu Sinar Harian Online bahawa beliau mengalu-alukan langkah Perdana Menteri mengarahkan Kabinet membincangkan Seksyen 114A.

"Ini bukti beliau mengikuti dan memahami perkembangan mutakhir dan sentiasa mendahulukan rakyat.

"Saya harap Kabinet (akan) membuat keputusan untuk meminda Seksyen 114A dalam mesyuarat Parlimen September ini.

"Kita memerlukan undang-undang untuk melindungi rakyat daripada kesalahan-kesalagan dalam Internet seperti jenayah dan terorisme.

"Tetapi ia tak boleh dalam bentuk Seksyen 114A yang terlalu luas yang memungkinkan ia disalah guna, menerbitkan budaya takut, menggugat transformasi politik dan mengganggu perniagaan internet," kata beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Malah katanya, ia juga berlawanan dengan janji kerajaan satu masa lalu yang tidak akan mengadakan sekatan Internet.

Sebelum Najib menghantar mesejnya, Ketua Pemuda Umno dan BN, Khairy Jamaluddin, seorang lagi pemimpin yang menekankan isu itu sejak dua bulan lalu berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Nazri esok.

"(Saya) akan bertemu dengan Ketua DS Nazri Aziz pada Khamis (esok) untuk meminta kerajaan melihat semula (Seksyen) #114A. Kita tidak harus tidak mendengar suara rakyat Malaysia," katanya lagi.

Perkembangan malam tadi turut menerima respons daripada pemimpin-pemimpin PR.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula berkata, Najib akhirnya mendengar kuasa solidariti komuniti atas talian di Malaysia.

"Hasil hari bersejarah 'Internet Blackout Day' - komuniti atas talian harus terlibat bersama dan disertakan dalam proses merangka undang-undang Internet," kata ahli Parlimen veteran ini, salah seorang yang aktif terlibat dalam media siber sejak projek Koridor Raya Multimedia diperkenalkan pertengahan 1990-an.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pula berkata, kerajaan seharusnya telah membincangkan perkara tersebut sebelum kempen memprotes Seksyen 114A dimulakan.

"(Pentadbiran Najib) seharusnya mengutamakan rakyat," katanya lagi.