KUALA LUMPUR -- Pindaan Akta Kerja 1955 bagi menangani diskriminasi di tempat kerja perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan merangkumi pekerja-pekerja syarikat swasta.

Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA), Azril Mohd Amin berkata isu penafian hak dan diskriminasi di tempat kerja bukan sekadar isu larangan pemakaian tudung semata-mata.

“MACSA menggesa agar dalam merangka pindaan terhadap Akta Kerja 1955, pihak kementerian perlu menyoroti isu diskriminasi ini secara holistik dan menyeluruh, meliputi hak-hak wanita hamil, serta hak-hak beragama dan beribadah para pekerja yang ingin melaksanakan kewajipan beragama mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem semalam berkata kementerian sedang memuktamadkan draf cadangan pindaan akta berkenaan bersama beberapa kementerian dan agensi berkaitan susulan isu larangan bertudung dalam sektor perhotelan baru-baru ini.

[ARTIKEL BERKAITAN:  Larang pekerja hotel bertudung: Akta Kerja 1955 akan dipinda ]

Merujuk kepada kes pemecatan seorang pekerja AirAsia yang didapati sedang hamil, Azril berkata hubungan kontraktual antara pekerja dengan majikan tidak wajar dijadikan alasan untuk menafikan hak-hak asasi pekerja kerana hak untuk beragama dan untuk tidak didiskriminasi secara salah, bukanlah perkara remeh yang boleh dikecualikan terhadap sesiapa.

Dalam kes tersebut, mahkamah memutuskan bahawa perlindungan hak asasi yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan (termasuk larangan diskriminasi terhadap wanita) tidak terpakai kepada majikan swasta kerana hubungan di antara majikan dengan pekerjanya adalah berasaskan kepada hubungan kontraktual semata-mata.

“Perlu dimasukkan ke dalam pindaan tersebut suatu peruntukan melarang dimasukkan secara ekspresif ke dalam mana-mana kontrak pekerjaan, klausa yang menghalang wanita untuk bertudung dan hamil,” tegas Azril.

Selain itu katanya, para pekerja dan badan-badan bukan kerajaan yang terlibat secara langsung dengan isu berkenaan perlu dilibatkan dalam mesyuarat merangka pindaan Akta Kerja 1955 agar pihak-pihak yang berkepentingan dapat memberikan cadangan sebelum pindaan tersebut dimuktamadkan.- Bernama