BENTONG - Penggunaan telefon bimbit ketika memandu kenderaan dan menunggang motosikal dikenal pasti sebagai antara punca utama kemalangan jalan raya di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kementerian akan meminta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) untuk menjalankan kajian bagi membuktikan ia satu perkara serius yang perlu diberi perhatian oleh pengguna jalan raya di negara ini.

"Sebenarnya telefon telah banyak mengubah kehidupan kita dengan kewujudan pelbagai aplikasi seperti WhatsApp dan mesej multimedia. Fungsinya bukan lagi menjadi telefon biasa sebaliknya telah menjadi telefon pintar dengan pelbagai kemudahan.

"Hal itu juga mengubah soal keselamatan jalan raya dan menjadi cukup berbahaya apabila kita menggunakannya untuk melayari laman sosial, mengambil gambar, atau mencari lokasi ketika sedang memandu mahupun menunggang motosikal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha ke-18 di tempat letak kereta bersebelahan Perhentian Bas Bentong, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Ariffin Che Mat dan Pengarah Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), Datuk Jim Khor.

Beliau berkata, tema Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha ke-18 iaitu 'Fokus Di Jalan Bukan Di Tangan' adalah bertepatan dengan senario semasa kerana kajian yang dijalankan oleh Miros mendapati 80 peratus kemalangan berpunca daripada kecuaian manusia termasuk penggunaan telefon bimbit.

"Setiap kali kita adakan kempen, mesti ada moto tertentu seperti sebelum ini buckle up at back seat (pakai tali pinggang keledar di kerusi belakang). Sudah hampir 10 tahun kita menjalankan kempen ini, air liur kita pun dah habis, namun kajian mendapati hanya tujuh peratus daripada pemandu di negara ini mematuhi arahan itu.

"Rakyat Malaysia kalau tiada penguatkuasaan atau penalti mereka akan relaks sahaja. Jadi kita mahukan kedua-duanya dilaksanakan dan ini akan melibatkan kerjasama antara polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Kalau tidak kempen hanya jadi kempen," katanya.

Sehubungan itu, katanya kementerian menerusi agensi yang berkaitan akan terus melakukan kempen keselamatan jalan raya dengan penguatkuasaan lebih agresif secara bersepadu untuk memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.

Bagi tujuan itu juga, katanya kementerian akan mewujudkan JKJR di peringkat daerah bagi memastikan segala kempen yang berkaitan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh sehingga ke peringkat akar umbi.

Pada masa yang sama, kerjasama akan turut dilakukan dengan Kementerian Pendidikan bagi memberi kesedaran undang-undang dan keselamatan jalan raya dalam kalangan pelajar.

Selain itu, Tiong Lai turut mengarahkan Miros supaya menjalankan kajian dengan teliti berhubung tempoh hayat sesebuah topi keledar kerana didapati kebanyakan penunggang motosikal di negara ini menggunakan topi keledar yang berusia lebih lima tahun sehingga membahayakan nyawa mereka apabila berlaku kemalangan.

"Sekarang hanya ada ditulis tarikh pembuatan, tarikh luput tidak ada. Apabila kajian ini dijalankan, kita akan pastikan ada tempoh hayatnya dan apabila melebihi tempoh hayat itu, jangan pakai kerana ia membahayakan keselamatan.

"Penetapan peraturan yang berkaitan akan dilakukan selepas kajian itu selesai dilakukan kelak," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Kabinet bersetuju dengan penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (NTSB) yang akan bertindak sebagai badan penyiasatan bebas terhadap kemalangan melibatkan pelbagai mod pengangkutan.
  • PUTRAJAYA - Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati kebanyakan pemandu di negara ini mengakui bahawa penggunaan telefon bimbit ketika memandu merupakan faktor penyumbang kepada kemalangan jalan raya.
  • IPOH - Kementerian Pengangkutan kini di peringkat akhir melakukan kajian polisi baharu bagi jangka hayat kenderaan.
  • BENTONG - Kementerian Pengangkutan bercadang akan mewujudkan dasar yang menetapkan jangka hayat kenderaan dalam usaha mengurangkan kemalangan dan kesesakan jalan raya di negara ini.
  • KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji penggunaan On-Board Diagnostics (OBD) Kamera untuk dipasang pada semua kenderaan komersial dalam usaha memantau sikap pemandu bas bagi memastikan tahap keselamatan terjamin.