SERDANG - Pengeluaran sektor perikanan negara untuk tahun ini diramalkan akan terus meningkat berdasarkan data yang diperoleh bagi suku pertama tahun 2018.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Munir Mohd Nawi berkata, peningkatan pengeluaran berkenaan dijangka banyak disumbangkan menerusi industri akuakultur serta aktiviti tangkapan.

“Menerusi data peningkatan pengeluaran sektor perikanan turut mencatatkan peningkatan sebanyak 2.8 peratus pada 2017. Ia seterusnya menyumbang kepada jumlah pengeluaran sebanyak 1.93 juta tan metrik dengan nilaian RM14.1 bilion berbanding tahun sebelumnya.

“Untuk suku pertama tahun 2018 pula, pengeluaran sektor perikanan negara meningkat sebanyak 1.9 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2017,” katanya pada sidang media Persidangan Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan Perikanan Malaysia 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), di sini, hari ini.

Selain itu, Munir berkata, antara fokus utama persidangan kali ini adalah untuk menarik penglibatan golongan muda menceburkan diri dalam industri perikanan.

“Antara fokus utama kita kali ini ialah untuk menarik golongan muda melibatkan diri dalam sektor perikanan negara dengan menyebarkan pelbagai maklumat mengenai industri dan menyediakan pusat latihan.

“Pada masa ini penglibatan belia dalam sektor perikanan agak berkurangan terutamanya perikanan laut dalam,” katanya.