KUANTAN - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bertitah seorang pemimpin yang bertanggungjawab adalah yang tidak hanya sekadar melaungkan janji-janji kosong kepada rakyat tetapi mesti mengotakan apa yang dikatakan.

Baginda bertitah atas dasar itulah pemilihan seorang pemimpin harus dibuat secara teliti dan memenuhi ciri-ciri kepimpinan yang unggul.
    
"Seorang pemimpin yang bertanggungjawab juga perlu sentiasa mengambil berat soal kebajikan rakyat serta mengutamakan kepentingan negara melebihi kepentingan diri," titah baginda pada majlis persembahan Anugerah Pemimpin Unggul kepada Sultan Pahang anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama Mubarak di sini hari ini.
    
Turut hadir Sultanah Pahang Sultanah Kalsom, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Pengerusi Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman.
    
Sultan Ahmad Shah bertitah pemimpin itu juga hendaklah terdiri daripada kalangan yang benar-benar layak dan mempunyai kemampuan dalam soal kepimpinan kepada rakyat.

"Mereka juga perlulah berpengetahuan luas, berpandangan ke hadapan, berwibawa serta mempunyai tingkah laku yang terpuji.
    
"Mereka juga perlu mengawal, mengurus, mentadbir dan membuat keputusan dengan baik serta perlu mencorakkan dasar dan polisi yang ada bagi kemajuan dan kemakmuran negara," titah baginda.
    
Sementara itu, baginda turut memuji Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang banyak membantu golongan wanita dalam pelbagai aspek terutamanya daripada segi kebajikan.
    
Sultan Pahang bertitah hasil usaha kementerian itu telah menyaksikan banyak penyertaan golongan wanita dalam pelbagai bidang sama ada dalam agensi kerajaan dan swasta.
  
 "Oleh itu, peranan para pemimpin wanita diharap dapat diberi perhargaan agar perjuangan ini dapat diteruskan untuk membantu rakyat tanpa mengira kaum dan agama," titah baginda. - Bernama