KUALA LUMPUR - Pembubaran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) akan memberi kesan kepada kecekapan kerajaan, kestabilan politik dan ekonomi negara, kata Pengarah Bahagian Komunikasi Strategiknya, Tun Faisal Ismail Aziz.

Beliau berkata, kerajaan memerlukan khidmat Jasa dalam membuat analisa pelbagai isu semasa, mendapat maklum balas rakyat, memberi penjelasan kepada rakyat, memperkukuhkan kestabilan politik dan keselamatan negara serta mendapatkan sokongan rakyat terhadap kerajaan.

"Ia secara langsung menjejaskan kecekapan kerajaan berikutan kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) mungkin akan menggabungkan beberapa kementerian dan jabatan pada masa depan dalam langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan," katanya.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Jasa antara tiga lagi agensi dan institusi kerajaan dibubarkan bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Menurut Dr Mahathir, keputusan tersebut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pertama hari ini untuk memberi tumpuan kepada hutang negara yang mencecah RM1 trilion.

Selain Jasa, Majlis Profesor Negara (MPN), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) turut dibubarkan.