AS hargai komitmen Malaysia tangani pembiayaan keganasan

Saifuddin Nasution (kiri) bersama Mohamed Khaled (kanan) pada sidang media bersama selepas selesai sesi ‘Thank You Reception and Announcement of DSA & NATSEC Asia 2026’, di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) pada Khamis. - Foto Bernama
Saifuddin Nasution (kiri) bersama Mohamed Khaled (kanan) pada sidang media bersama selepas selesai sesi ‘Thank You Reception and Announcement of DSA & NATSEC Asia 2026’, di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbincangan dan penyelesaian baik berjaya dicapai semasa sesi pertemuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Brian Nelson.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beberapa topik perbincangan telah dilakukan secara bersemuka berhubung laporan sebuah agensi berita antarabangsa bahawa terdapat peningkatan dalam wang yang dipindahkan ke Iran dan proksinya termasuk Hamas, melalui sistem kewangan di Malaysia.

Beliau berkata, Malaysia berjaya menyampaikan pendirian berhubung laporan tersebut dan mengenal pasti isu yang dibangkitkan berhubung keganasan serta risikan kewangan.

Kata beliau, Malaysia mempunyai undang-undang kukuh bagi membanteras aktiviti seumpama itu, selain terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana negara atau pihak berkepentingan bagi tujuan tersebut.

"AS menghargai komitmen negara dalam usaha membanteras kegiatan pembiayaan haram dan penggubahan wang haram bagi pembiayaan aktiviti keganasan.

“Dalam perjumpaan berkenaan saya turut mengambil peluang memaklumkan mereka (wakil Amerika Syarikat) mengenai perspektif negara mengenai perkara berkenaan termasuk dari segi politik, perundangan, penguatkuasaan serta kerjasama serantau yang dilakukan bagi membasmi kegiatan berkenaan.

“Saya juga ada berkongsi pelan strategik lima tahun KDN bagi menangani perkara berkaitan dengan keganasan dan mereka mengambil maklum mengenai perkara itu," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas majlis penutup Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec).

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pada pertemuan itu, wakil AS turut menyuarakan kebimbangan mengenai kegiatan beberapa pertubuhan yang berpangkalan di rantau ini.

Katanya, perwakilan AS turut menyatakan terdapat pertubuhan itu telah dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan.

Menurut beliau, mengenai isu terbabit, delegasi AS menghormati pendirian Malaysia kerana memiliki undang-undang kukuh.

Katanya, perincian Malaysia terhadap beberapa perkara termasuk berkaitan pertubuhan, individu atau syarikat di Malaysia telah dibentangkan bagi proses verifikasi.

"AS menyambut baik penjelasan rasmi Malaysia terhadap segala perkara yang dibangkitkan seperti kaitan pembiayaan keganasan serta maklumat berhubung pertubuhan, syarikat serta individu yang dikatakan berada di negara ini," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!