Anwar lawat Mutang Tagal di IJN hari ini

Anwar pada Khamis meluangkan masa melawat Mutang yang sedang menerima rawatan di IJN. Foto FB Anwar Ibrahim
Anwar pada Khamis meluangkan masa melawat Mutang yang sedang menerima rawatan di IJN. Foto FB Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis meluangkan masa melawat Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal, yang sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Menerusi hantaran bergambar di Facebook rasmi beliau, Anwar turut ditemani Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

"Mendoakan agar beliau diberikan afiyah sesegera mungkin, dikurniakan kekuatan untuk melawan sakit yang dihadapinya dan dipermudahkan segala urusan, insya-ALLAH,” katanya.

Mutang mula menerima rawatan di IJN sejurus tiba dari Azerbaijan pada 6 Mei, selepas melakukan lawatan kerja bermula 29 April dan pulang lebih awal daripada yang dijadualkan.

Yang Dipertua Dewan Negara itu mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri Forum Dunia mengenai Dialog Antara Budaya, yang berlangsung pada 1 hingga 3 Mei di Baku, Azerbaijan.

Sebelum menghadiri forum tersebut, beliau melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev, Perdana Menteri Ali Asadov dan Speaker Milli Majlis Azerbaijan Sahiba Gafarova, serta menghadiri mesyuarat dan taklimat oleh pemain industri di negara itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: