KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan perintah larangan bagi menghalang media dan orang awam daripada melaporkan mengenai merit kes bagi kesemua pertuduhan yang dihadapinya.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas lebih tujuh jam mendengar hujahan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan hujahan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Ketika membuat keputusan itu, Mohd Nazlan berkata, undang-undang menghina mahkamah sedia ada dan undang-undang fitnah telah menyediakan ruang yang perlu untuk menghadapi sebarang risiko prejudis atau campurtangan terhadap sistem  pentadbiran udang-undang jenayah negara kita.

Hakim itu berkata, perintah larangan (gag order) peringkat lebih awal  dengan mengguna pakai undang undang menghina mahkamah hanya boleh di berikan dalam kes kes tertentu sahaja dimana terdapat risiko  prejudis yang benar-benar besar, jelas membahayakan serta serius.

Bagaimanapun katanya, sekiranya permohonan tersebut dibenarkan, ia  bertentangan dengan perkara 10 Perlembagaan Persekutuan serta melanggar prinsip undang-undang dan keadilan berdasarkan Seksyen 15 Kaedah-kaedah Mahkamah Kehakiman 1964.

"Ini adalah sebahagian daripada isu teknikal membabitkan perintah yang dipohon melalui notis usul. Ianya tidak selari dan tidak mempunyai hak yang sah di sisi undang-undang dalam menegakkan keadilan. Sehubungan itu permohonan ini ditolak,"katanya.

Sementara itu Muhammad Shafee memberitahu mahkamah, pihaknya akan mengemukakan notis rayuan berhubung keputusan itu Isnin ini.

Dalam pada itu pihak pendakwaan memaklumkan, pihaknya akan mengemukakan 15 saksi untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Februari hingga untuk perbicaraan kes.

Selain itu 4 Oktober ditetapkan untuk pengurusan kes.

Selain Hanafiah, Datuk Manoj Kurop, Datuk Suhaimi Ibrahim, Datuk Umar Saifuddin Jaafar, Datuk Ishak Mohd. Yusoff, Donald Joseph Franklin; Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Budiman Lutfi Mohamed; Sulaiman Kho Kheng Fuei,  Mohd. Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan bertindak sebagai pihak pendakwaan.

Pasukan peguam bela Najib pula turut diwakili Harvinderjit Singh, Datuk Raj Krishnan, Farhan Read, Rahmat Hazlan, Muhamad Farhan Muhamad Shafee dan Syahirah Hanapiah.