KUALA LUMPUR - Agensi penarafan terkemuka, Moody's mengekalkan nisbah hutang negara pada kadar 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selari seperti diumumkan kerajaan BN sebelum ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia sekali gus menyangkal dakwaan kerajaan Pakatan Harapan menyatakan hutang negara berjumlah RM1 trilion atau mewakili 80.3 peratus daripada KDNK negara sebagai tidak benar.

"Anda (kerajaan Harapan) boleh mengelirukan rakyat, tetapi anda tidak boleh kelirukan pakar," katanya menerusi kenyataan di laman sosial Facebook miliknya hari ini.

Najib berkata, kerajaan yang dipimpinnya sebelum ini sentiasa telus dalam setiap pendedahan dilakukan dan mematuhi standard antarabangsa kerana mengetahui kepentingan angka tersebut serta kesannya terhadap ekonomi.

"Jika kita mahu ambil nisbah 80.3 peratus yang diuar-uarkan Harapan, ia masih lebih rendah daripada nisbah 103.4 peratus yang dicapai negara pada pertengahan 1980-an, iaitu nisbah yang kekal melebihi 70 peratus untuk tempoh yang panjang ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri buat kali pertama.

"Malaysia tidak muflis ketika itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sah, hutang negara lebih RM1 trilion]

Maka tidak ada logik bahawa Malaysia akan muflis dengah paras hutang 50.8 peratus atau bahkan pada 80.3 peratus, terutamanya sejak hutang kerajaan kita didenominasi dalam ringgit," katanya.

Beliau berkata, kerajaan Harapan sepatutnya perlu memenuhi integriti dalam mematuhi piawaian antarabangsa dan memastikan mereka keluar daripada politik apabila membuat laporan kewangan.

"Sepanjang bulan lalu, kisah hutang RM1 trilion ini telah menyumbang kepada aliran keluar dana asing yang besar dari pasaran bon kita.

"Ia merupakan situasi yang boleh menyebabkan kerugian pada pelabur runcit serta tabungan dan dividen dana kita seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji dan Amanah Saham Nasional serta Amanah Saham Berhad," katanya.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, hutang negara kini mencecah RM1.08 trilion atau 80.3 peratus berbanding KDNK.Daripada jumlah itu, RM686.8 bilion merupakan hutang kerajaan Persekutuan, bersamaan 50.8 peratus dari KDNK negara.