SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal berdepan tuduhan penyelewengan dan rasuah menggunakan wang kerajaan susulan siasatan ke atas dana 1Malaysia Development Malaysia Bhd (1MDB).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam wawacaranya bersama Reuters berkata, ia merupakan antara tuduhan yang bakal dikenakan selepas penyiasat sudah 'mempunyai kes yang hampir sempurna' terhadap kontroversi skandal berkenaan.

Malah Dr Mahathir turut mendakwa Najib sebagai individu yang berperanan utama dalam kes tersebut.

"Dia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap 1MDB. Tiada apa-apa yang boleh dilakukan tanpa tandatangannya, dan kami mempunyai tandatangannya pada semua perjanjian yang dimeterai oleh 1MDB. Oleh itu, dia bertanggungjawab," katanya dipetik menerusi portal Malaysiakini.com.

Kontroversi 1MDB mula menjadi perhatian ramai sejak 1 Mac 2015 apabila sebuah syarikat perkhidmatan dan penerokaan minyak berpangkalan di Arab Saudi, PetroSaudi International menafikan dakwaan semua wang yang diperuntukkan kepada 1MDB telah disalurkan ke syarikat itu, berdasarkan laporan Sarawak Report.

Sebuah pasukan khas kemudiannya ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan itu.

Ia kemudian disusuli laporan The Wall Street Journal dan Sarawak Report yang menerbitkan laporan mendakwa dana 1MDB dipindahkan ke akaun peribadi Najib.

Bagaimanapun, pada 3 Ogos 2015, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan kenyataan, hasil siasatan mendapati, dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Najib adalah derma yang disumbangkan pihak tertentu yang tidak didedahkan.

Selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan susulan kemenangannya dalam PRU14 lalu, Dr Mahathir  membuka semula siasatan ke atas 1MDB dan pembabitan Najib di dalamnya.

Ekoran itu, Najib dilarang meninggalkan negara dan polis juga sudah menjalankan serbuan ke atas hartanah yang dikaitkan dengan beliau.