KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) menjangkakan Malaysia akan menerima kesan daripada krisis kewangan Turki.

Menteri, Darell Leiking berkata bagaimanapun pihaknya akan memastikan perdagangan Malaysia dengan Turki kekal dilindungi di samping mencari penyelesaian untuk membantu industri yang berpotensi terjejas ekoran krisis itu.

“Apabila berlaku krisis kewangan, ia akan memberikan beberapa kesan namun, kita sentiasa bersedia dan berhati-hati mengenainya,” katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak Aeroangkasa Malaysia 2018 di sini, hari ini.

Beliau berkata, kementerian itu akan terus memantau perkembangan di Turki.

Mata wang Turki, Lira, mengalami penyusutan 44 peratus setakat ini bagi 2018 sekali gus menjadi mata wang berprestasi paling buruk di dunia.

Tahun lepas, dagangan Malaysia dengan Turki berada pada RM12.06 bilion, meningkat 43.8 peratus daripada 2016.

Eksport Malaysia ke Turki pada 2017 naik 47.1 peratus kepada RM10.51 bilion berbanding tahun sebelumnya manakala import berkembang 24.6 peratus kepada RM1.55 bilion.

Sementara itu, mengenai industri aeroangkasa, Leiking berkata Miti yakin Malaysia boleh menjadi negara aeroangkasa terkemuka di Asean pada 2030 seperti disasarkan menerusi Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2015-2030.

‘Selain keupayaan syarikat tempatan untuk menyokong aktiviti pembuatan dan penyenggaraan, pembaikan serta baik pulih (MRO), pelaburan berkualiti dan permintaan pasaran yang kukuh juga akan mempercepatkan pembangunan rantaian bekalan tempatan,” katanya.

Beliau berkata, industri tersebut juga mengalami lonjakan pelaburan sejak beberapa tahun ini dengan beberapa firma multinasional mewujudkan dan memperluas operasi di seluruh rangkaian kemudahan aeroangkasa yang sedang berkembang.

Tahun lepas, industri aeroangkasa Malaysia merekodkan perolehan keseluruhan RM13.5 bilion berbanding RM12.7 bilion pada 2016 dengan eksport meningkat 54 peratus kepada RM8.51 bilion daripada tahun sebelumnya. - Bernama