PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Pihak yang terlibat dalam siasatan dan pendakwaan skandal 1MDB telah mengadakan pertemuan di Putrajaya.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Peguam Negara berkata, pertemuan itu membabitkan pendakwa raya, pakar dalam pemerolehan aset dan penyiasat dari Amerika Syarikat, Singapura serta Switzerland.

“Mereka sedar akan kepentingan dan kesegeraan usaha sama serta kerjasama rentas sempadan dalam hal membanteras jenayah yang dilakukan di peringkat antarabangsa dan merentasi sempadan negara.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada delegasi dari luar negara atas kesudian mereka memberi bantuan selanjutnya dalam peperangan menentang penipuan dan jenayah transnasional,” katanya, hari ini.

Jabatan Peguam Negara turut menyatakan, pihaknya yakin mesyuarat itu akan menjadi penanda aras kepada usaha lebih besar pada masa depan.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa kali ketiga di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan salah guna kedudukan membabitkan rasuah dan 21 pertuduhan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah kira-kira RM2.3 bilion.

Najib bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dan mohon dibicarakan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Najib tidak mengaku salah 25 pertuduhan]