PUTRAJAYA - Malaysia pada dasarnya menyokong perjanjian nuklear Iran dengan kuasa dunia yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah dalam kenyataannya berkata, semua negara mesti mematuhi prinsip asas yang berkaitan dengan penggunaan tenaga nuklear dan mengalu-alukan JCPOA sebagai satu perkembangan penting dalam usaha untuk menggalakkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di dunia.

Katanya, Malaysia percaya JCPOA akan menyumbang kepada usaha untuk menghapuskan ancaman senjata pemusnah besar (WMD), terutamanya senjata nuklear, dan berharap semua pihak akan berpegang kepada prinsip asas JCPOA dan menumpukan fokus kepada pelaksanaan pelan itu secara komprehensif.

[ARTIKEL BERKAITAN: Parlimen Iran lulus usul JCPOA]

Republik Islam Iran meminta sokongan Malaysia berhubung JCPOA dan mesej ini disampaikan Naib Presiden untuk Wanita dan Keluarga Republik Islam Iran, Dr Masoumeh Ebtekar semasa kunjungan hormat ke atas Dr Wan Azizah baru-baru ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Minyak Iran, Marzieh Shahdaei dan Duta Republik Islam Iran ke Malaysia, Marzieh Afkham.

Dalam pertemuan itu juga, Dr Masoumeh mengemukakan hasrat Iran untuk meningkatkan dan mempelbagaikan bidang kerjasama dengan Malaysia selain daripada bidang kerjasama sedia ada.

“Saya ingin mencadangkan dialog berkenaan polisi secara bersama mengenai isu-isu yang berbeza, bukan hanya JCPOA, tetapi isu-isu seperti memerangi keganasan, isu-isu yang berkaitan dunia Islam dan isu-isu penting bagi kedua-dua negara kita.

“Ini adalah kerajaan Malaysia yang baharu. Ada banyak cabaran yang bakal dihadapi. Memerangi rasuah juga adalah satu agenda utama kerajaan Malaysia yang baharu ini. Ini adalah isu yang turut dihadapi di Iran.

“Pembangunan wanita di Iran adalah agenda yang penting bagi kami dan memperjuangkan isu ini adalah satu naratif penting pada hari ini,” katanya.