KUALA LUMPUR - Semua maklumat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang tidak dimasukkan dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan dikategorikan sebagai berita palsu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari berkata, pihak berkuasa sudah menyiasat 1MDB dan maklumat tidak disahkan pihak berkuasa negara ini berkaitan dengan syarikat kontroversi itu ialah berita palsu.

“Kes ini sudah disiasat pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Peguam Negara serta dibentangkan kepada PAC yang diwakili ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Prosiding PAC dilakukan secara telus, laporan PAC juga telah dikeluarkan,” katanya dalam ucapan penggulungan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau secara amnya definisi berita palsu ialah berita yang disahkan tidak benar oleh pihak berkuasa serta pihak yang mempunyai skop bidang tugas atau kepakaran khusus dalam isu tersebut.

Jailani menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Tan Kee Kwong (PKR - Wangsa Maju) dan Datuk Johari Abdul (PKR - Sungai Petani) ketika perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Johari berkata, perkara-perkara berkaitan dengan 1MDB ini sentiasa ditimbulkan kerana rakyat tidak mendapat jawapan yang tepat.

“Dalam kes 1MDB, menteri tidak boleh katakan ia selesai kerana saya tidak boleh bertanya di Parlimen kerana ia rahsia.

“Peranan kementerian menjelaskan perkara ini, kalau ia rahsia, katalah (kepada) wahai rakyat Malaysia, isu 1MDB diklasifikasikan sebagai rahsia.

“Ini bermakna kementerian, AG (peguam negara) cakap lain, perdana menteri cakap lain, soal rakyat percaya atau tidak itu soal lain kerana 1MDB adalah rahsia,” katanya.

Jalani menjawab, isu 1MDB sudah lama selesai dan pihak pembangkang sering kali menimbulkan isu-isu lama.

“Jadi saya ingat perkara berkaitan dengan 1MDB ini kita tak perlu perhalusi kerana sudah jelas seperti yang saya umumkan tadi.

“Kita dapati apa-apa yang ditimbulkan berkaitan dengan 1MDB adalah merupakan satu berita palsu,” katanya

Jalani menegaskan, segala cadangan PAC juga diterima penuh dan dilaksanakan oleh kerajaan sepenuhnya.