SHAH ALAM - Mahkamah Sesyen Kangar hari ini, mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim kerana gagal hadir bagi menghadapi pertuduhan kes dipercayai mencabul seorang gadis bawah umur, baru-baru ini.

Waran tangkap dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen, Johari Abu Hassan setelah Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nordin Ismail membuat permohonan tersebut.

Bagaimanapun Peguam yang mewakili Shahidan, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim membantah pengeluaran waran tersebut kerana anak guamnya itu dan beliau sendiri tidak dimaklumkan mengenainya lebih awal.

“Saya mendapat tahu pengeluaran waran ini semasa berada di mahkamah pada pagi ini, sedangkan anak guam saya berada di luar kawasan,” katanya.

Berikutan itu, kata beliau, pihaknya akan memohon semula kepada mahkamah untuk membatalkan waran tangkap tersebut.

“Kes berprofil tinggi seperti ini perlulah dimaklumkan lebih awal, apatah lagi melibatkan seorang ahli politik.

“Shahidan pula menetap di Perlis, waran tangkap hanya dikeluarkan jika beliau melarikan diri,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Remaja perempuan dicabul ahli politik Perlis]

[ARTIKEL BERKAITAN: Cabul: Polis rekod keterangan MP esok]

[ARTIKEL BERKAITAN: Kes siasatan ahli Parlimen cabul pelajar hampir selesai]

Dalam pada itu, berdasarkan status Facebook yang dimuat naik Shahidan semalam pada jam 8.09 malam, berada di Mekah dan baru selesai menunaikan umrah.

Baru-baru ini tular dakwaan Shahidan  mencabul seorang gadis berusia 15 tahun yang merupakan ahli kumpulan buskers yang ditaja oleh beliau.

Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau walau bagaimanapun, menafikan perbuatan yang didakwa dilakukan pada 21 Oktober lalu itu, malah laporan polis terhadapnya oleh remaja tersebut telah ditarik balik.

Bapa remaja itu turut menyatakan bahawa keluarga mereka telah memaafkan perkara tersebut.