KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,183 unit rumah di bawah program Rumah Bina Negara (RBN) sedang dalam proses pembinaan di sembilan lokasi seluruh negara, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya jumlah itu merangkumi sebahagian daripada 1,675 permohonan yang diterima Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).

Ismail Sabri berkata, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) pula telah meluluskan 158 permohonan RBN daripada 1,626 permohonan yang diterima sehingga kini.

"Sejumlah 81 unit rumah kini dalam pembinaan, manakala 16 unit telah siap," katanya semasa waktu pertanyaan menteri (MQT) pada Persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) mengenai jumlah permohonan bagi program RBN mengikut agensi bertanggungjawab iaitu Felcra dan Risda serta perkembangan terkini program perumahan itu.

Menerusi program RBN, kerajaan menawarkan insentif RM20,000 bagi rumah  berharga RM65,000 kepada pemohon yang layak.

Rumah berkeluasan 700 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air yang dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik terbuka kepada belia luar bandar berumur 18 hingga 45 tahun.

RBN perlu dibina di tanah milik sendiri atau ibu bapa.

Mengenai perkembangan projek RBN di seluruh negara, beliau berkata 140 unit rumah siap dibina, 123 unit sedang dalam proses pembinaan manakala dua projek melibatkan 318 unit rumah telah memperoleh kelulusan kebenaran merancang. 

Tambahnya, tiga projek RBN sedang dalam proses kebenaran merancang melibatkan 303 unit rumah dan dua projek dengan 302 unit rumah berada di peringkat permohonan kelulusan tapak.

Menjawab soalan tambahan Anuar mengenai kaedah permohonan sekiranya pemohon tidak mempunyai slip pendapatan bulanan, Ismail Sabri berkata pemohon boleh mendapatkan pengesahan pendapatan daripada pemimpin tempatan seperti penghulu atau Tok Batin.

"Sebagai pemudah cara pembiayaan pemohon, kementerian dan Risda baru-baru ini telah menjalinkan kerjasama dengan Agrobank. Selepas ini pemohon yang ingin membuat pinjaman perumahan, tidak semestinya mempunyai slip gaji. Hanya dapatkan pengesahan pendapatan daripada pemimpin tempatan," katanya.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Ismail Sabri berkata terdapat banyak kes yang mana pemohon tidak dapat membeli rumah kerana gagal mendapat pinjaman perumahan dan isu paling besar ialah kerana mereka tidak mempunyai penyata gaji.    

"Ini disebabkan mereka bekerja sendiri, berkebun sayur, mungkin berniaga di pasar malam...jadi isu ini kita selesaikan melalui kerjasama dengan Agrobank yang bersetuju memberi pinjaman tanpa slip gaji.    

"Pemohon boleh mendapatkan surat pengesahan daripada pemimpin masyarakat tempatan seperti ketua kampung, anggota Parlimen, anggota Dewan Undangan Negeri mahupun Ketua Umno Bahagian di kawasan tersebut," katanya. - Bernama 

$content.code.value
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.