SHAH ALAM - Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) semalam, telah memuktamadkan laporannya dan akan dibentang ke kabinet dalam masa terdekat.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, pembangunan NHRAP ini merupakan komitmen kerajaan semasa proses semakan berkala sejagat atau Universal Periodic Review (UPR) yang kedua di Geneva pada tahun 2013.

"Pelaksanaan NHRAP ini akan memastikan isu-isu hak asasi manusia ditangani dengan baik, malah ia juga dilihat sebagai dokumen yang komprehensif yang akan memastikan panduan kepada pegawai Kerajaan khususnya dalam pembangunan dasar-dasar kerajaan yang memberi impak positif kepada masyarakat umum," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung di Bangunan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) itu telah dipengerusikan oleh beliau bersama Datuk Paul Low.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, Pelan Tindakan ini telah melalui sesi-sesi penglibatan yang ekstensif merangkumi semua pihak berkepentingan khususnya dengan agensi peneraju yang akan melaksanakan NHRAP termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pertubuhan Sosial Korporat (CSO) dan masyarakat umum.

Katanya, pelaksanaan NHRAP ini juga merupakan bukti kukuh yang Kerajaan hari ini sentiasa telus dan prihatin dengan isu-isu hak asasi manusia di Malaysia. Sebaik kerangka NHRAP ini dipersetujui Kabinet, majlis pelancaran akan diadakan dan akan dirasmikan oleh  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :