SHAH ALAM - Keputusan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang mengklasifikasikan laporan audit mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 sepatutnya untuk sementara.

Memetik laporan Malay Mail, Ambrin berkata, klasifikasi itu hanya sehingga Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyelesaikan status isu kewangan 1MDB.

Katanya, untuk tidak mengganggu prosiding PAC, beliau memutuskan untuk mengklasifikasikan hal itu di bawah OSA.

“Saya rasa anda perlu kembali kepada sejarah kerana sebelum laporan akhir dikeluarkan, terdapat laporan sementara dan laporan itu disampaikan kepada PAC.

“Tidak ada sebab untuk ia terus diklasifikasikan lagi di bawah OSA apabila PAC menyelesaikan siasatan mereka,” katanya.

Beliau yang menafikan ditekan pihak luar berkata, beliau menghormati keputusan PAC yang memutuskan laporan itu tidak boleh didedahkan kepada awam.

Ambrin berkata, beliau juga berunding dengan Pejabat Keselamatan Kerajaan berhubung perkara itu dan turut dinasihatkan supaya laporan itu diletakkan di bawah OSA.

“Saya juga bersedia membantu dalam sebarang siasatan berkaitan 1MDB,”katanya.

Sebelum ini, PAC mendedahkan bahawa langkah kerajaan mengklasifikasikan laporan akhir audit persekutuan mengenai 1MDB di bawah OSA dilakukan bagi mengelakkan kebocoran maklumat.

Kemudian, Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin berkata, Jabatan Audit Persekutuan berusaha mengklasifikasikan laporan akhir selepas laporan awal dibocorkan kepada media sebelum dibentangkan tahun lepas.

Minggu lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad mendedahkan laporan 1MDB tersebut sambil menjelaskan bahawa dokumen yang dipersoalkan kini diklasifikasikan sebagai dokumen terbuka.