SHAH ALAM - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik telah mengadakan perbincangan bersama Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad semalam berhubung hasrat untuk memperkasakan perkhidmatan hospital pengajar universiti (HPU) di seluruh negara.

Maszlee berkata, menteri kesihatan telah menyambut baik pandangannya, yang dikongsi hasil tinjauan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) awal minggu ini.

Katanya, Dzulkefly juga memberi maklum balas yang membina dengan hasrat Kementerian Pendidikan itu.

"Ia satu perbincangan yang bernas saya kira. Pegawai-pegawai saya dan Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan, mengambil perbincangan lanjut dan datang dengan solusi.

"Semoga kita boleh menggunakan kesemua HPU di negara kita dengan optimum bagi melahirkan tenaga-tenaga pakar dan juga bagi terus sediakan perkhidmatan bermutu kepada rakyat sebagaimana dijanjikan oleh kerajaan Pakatan Harapan," katanya kepada Sinar Harian.

Isnin lalu, Maszlee telah mengadakan lawatan ke PPUM sejurus selepas menjawab soalan yang dikemukakan di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Mohamed Fadzil berkaitan dengan PPUM.

Maszlee berkata, berdasarkan lawatan beliau ke PPUM itu, Kementerian Pendidikan sedang melihat beberapa aspek bagi membolehkan rakyat semua lapisan masyarakat menerima perkhidmatan terbaik daripada HPU.

Beliau meluangkan masa lebih dua jam untuk melihat sendiri operasi PPUM, salah satu daripada empat HPU di Malaysia.

"Tiga HPU yang lain PPUKM, Hospital Universiti Sains Malaysia dan PPUIAM.

"Fungsi utama HPU menjadikan mereka berbeza berbanding hospital-hospital kerajaan yang lain di bawah Kementerian Kesihatan," katanya.