LANGKAWI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan menyumbangkan RM100,000 bagi membantu menubuhkan sebuah koperasi untuk penduduk Pulau Tuba di sini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata penubuhan koperasi ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan kos barangan semakin meningkat yang dihadapi rakyat.

Berucap pada majlis santai bersama penduduk Pulau Tuba di sini hari ini, Hamzah berkata penduduk di pulau itu yang dianggarkan 1,000 keluarga juga boleh menyumbang RM100 untuk dijadikan saham mereka dalam koperasi ini kelak.

Beliau berkata koperasi ini juga akan dapat menubuhkan kedai harga patut yang bertindak sebagai pemborong dan peruncit barangan keperluan di pulau ini.

"Saya akan tambah peruntukan (untuk penubuhan kedai harga patut ini)," katanya dan menambah jumlah peruntukan itu bergantung kepada saiz perniagaan berkenaan.

Sementara itu, dalam sidang media kemudian, beliau berkata semua pemimpin tempatan di setiap kawasan Parlimen telah diminta menubuhkan koperasi yang terlibat dalam sektor peruncitan dan pemborongan untuk penduduk di luar bandar di kawasan masing-masing.

"Ini adalah untuk memastikan harga barangan (keperluan) itu sentiasa sama dengan harga barangan di bandar-bandar," katanya.

Menurutnya kementeriannya menyediakan RM300,000 dalam bentuk separuh peruntukan dan separuh lagi pinjaman untuk setiap kawasan Parlimen bagi menubuhkan koperasi penduduk.

Katanya pemberian bantuan seperti ini merupakan langkah jangka pendek untuk mengurangkan kos barangan dan kos ini dijangka berkurangan lagi dalam jangka panjang menerusi pertambahan pembangunan yang berlaku di kawasan yang disasarkan. –Bernama