BEIJING - Malaysia masih boleh menjadi negara maju namun ia mungkin mengambil masa lebih lama berbanding sasaran asal pada tahun 2020.

“Mungkin kita tidak boleh capai menjelang 2020 tetapi mungkin  kemudian pada 2025… namun dengan bantuan anda semua kita boleh capai lebih awal,” katanya pada majlis makan  malam bersama diaspora Malaysia, di sini hari ini.

Dr Mahathir yang pada hari ketiga dalam rangka lawatan rasmi lima hari ke negara ini, berkata beliau telah memperkenalkan dasar-dasar untuk Malaysia  mencapai sasaran itu namun kesemuanya diubah selepas beliau bersara.

“Kita kini berada dalam negara yang dimusnahkan oleh kerajaan terdahulu,” katanya.

Beliau berkata kerajaan baharu sedang berusaha mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul.

Dr Mahathir berkata kerajaan baharu juga akan berusaha memenuhi janjinya kepada rakyat.

“Kalau tak berjaya hari ini, kita akan berusaha tunaikan janji hingga tercapai,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali diberi sambutan mesra  oleh rakyat Malaysia di negara ini sebaik sahaja tiba pada majlis itu.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Malaysia ke China Datuk Zainuddin Yahya.

Dr Mahathir turut menerima sumbangan daripada syarikat Malaysia untuk Tabung Harapan. - Bernama