KUALA LUMPUR - Kesedaran menderma organ secara sukarela masih belum berada pada tahap membanggakan berikutan hanya 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia sahaja yang telah berikrar menderma organ selepas kematian, setakat tahun lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, sehingga Disember 2013, jumlah rakyat Malaysia yang telah berikrar menderma organ adalah seramai 243,000 orang.

“Setiap tahun kira-kira 15,000 orang yang menjalani hemodialisis, kalau mereka tidak buat rawatan itu, mereka perlu buat pemindahan buah pinggang supaya boleh jalani hidup normal.

“Tetapi, kurang daripada 100 kes setahun sahaja yang boleh jalani pemindahan buah pinggang kerana kita tidak cukup organ, jadi adalah mustahak untuk orang ramai berikrar sebagai penderma organ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Derma Darah dan Kempen Pendaftaran Derma Organ Peringkat Kebangsaan 2014 anjuran  Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM) dengan kerjasama Hai-O Enterprise Berhad,  semalam.

Subramaniam berkata beliau berharap orang ramai akan meningkatkan kesedaran mereka dan mendaftar sebagai penderma organ melalui ilmu pengetahuan dan menolak persepsi negatif yang mengatakan bahawa ia akan memudaratkan kesihatan penderma.

Sementara itu, Presiden YMM Sim Chiun Wee berkata,  pihaknya menyasarkan untuk mengumpul dua juta pain darah dan mendaftar 1,000 penderma organ menerusi 54 kempen yang akan dijalankan di seluruh negara bermula bulan ini hingga September. - Bernama