PUTRAJAYA - Sebanyak 27,296 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di seluruh negara sehingga 30 Jun lepas,  meningkat 28 peratus atau 21,303 kes berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, bilangan kes di 12 negeri telah melepasi paras amaran kecuali di Johor, Sabah dan Sarawak.

"Paras amaran adalah purata bilangan kes HFMD untuk lima tahun kebelakangan dan nilainya berbeza-beza mengikut kes bilangan HFMD bagi setiap negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehingga kini, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 341 buah taska, tadika, tabika dan prasekolah di seluruh negara telah melaporkan kluster HFMD di premis mereka iaitu 50 peratus daripada jumlah wabak yang dilaporkan pada tahun ini.

Dr Noor Hisham berkata, survelan virus HFMD juga mendapati peningkatan aktiviti virus EV71 dalam persekitaran semenjak Mac tahun ini.

"Jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti ensefalitis, edema pulmonari dan miokarditis. Tiada ubat atau vaksin yang boleh mencegah jangkitan penyakit HFMD," katanya.Dr Noor Hisham berkata, ibu bapa dan penjaga kanak-kanak yang mengalami jangkitan perlu mengamalkan langkah pencegahan termasuk tidak membawa mereka ke tempat awam, membawa anak yang mempunyai tanda jangkitan berjumpa doktor, mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin, menyentuh atau merawat lepuh dan semasa mencuci najis kanak-kanak itu. - Bernama

INFO

- HFMD adalah penyakit akibat jangkitan virus, khususnya daripada jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (E71) yang menular melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis penghidapnya.

- Gejalanya ialah demam, ruam atau lepuh di tapak tangan dan kaki serta ulser pada mulut dan lidah.