GEORGETOWN – Kerajaan Kelantan boleh memohon bantuan daripada persekutuan sekiranya tidak mampu membayar gaji kakitangan kerajaan negeri.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya sedia membantu sekiranya Kelantan masih menghadapi masalah aliran tunai.

“Jarang ada negeri yang menghadapi masalah seperti Kelantan walaupun ada beberapa negeri hadapi masalah sama tapi, yang paling serius adalah Kelantan.

“Itu adalah berdasarkan fakta dan saya hanya meminta supaya  mereka boleh mengurus atur cara serta pentadbiran kewangan yang lebih baik, itu saja.

“Sama ada mereka nak dengar ataupun merasakan teguran saya sebagai menteri kewangan ada tujuan lain, itu terpulang kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, kerajaan persekutuan sedia membantu Kelantan jika masih menghadapi masalah sama pada masa akan datang melalui tabung khas.

“Ini adalah tabung khas untuk membantu negeri yang tak cukup wang untuk bayar gaji ataupun ada aliran tunai yang bermasalah. Kelantan sudah dapat bantuan lebih RM900 juta daripada kerajaan persekutuan iaitu bantuan paling besar kalau dibandingkan dengan negeri lain.

“Bantuan ini untuk atasi masalah tak cukup wang bayar gaji kakitangan kerajaan negeri ataupun bantuan atasi masalah aliran tunai, tidak termasuk bantuan yang diberikan negeri lain,” katanya.

Guan Eng berkata, walaupun semua negeri ada membuat pinjaman dengan kerajaan persekutuan tetapi masalah yang dihadapi mereka tidak seteruk yang dialami Kelantan.

“Semua negeri ada buat pinjaman, tapi ini tidak termasuk dalam bantuan khas yang diberikan. Kelantan sepatutnya tahu apa masalah mereka. Saya hanya bagi nasihat untuk mereka lakukan yang lebih baik,” katanya.