KUALA LUMPUR - Haluan kerajaan bagi mengurangkan jurang pendapatan di negara ini berada di landasan yang betul, kata ahli ekonomi Dr Mohammed Abdul Khalid.

Katanya, mana-mana negara dengan kadar ketidakseimbangan yang tinggi dan jurang pendapatan yang  lebar tidak akan pulih dengan cepat apabila wujud krisis dan pertumbuhan tidak mampan dari segi jangka panjang.

"Dari sudut ekonomi, amat penting untuk mengurangkan jurang berkenaan. Tetapi dalam bentuk masyarakat seperti kita, hal-hal perpaduan negara dan sosial juga menjadi amat penting. Ini membolehkan anda tinggal sebumbung tanpa mengira geografi, etnik dan perbezaan jantina.

"Semua orang harus diberi peluang yang saksama untuk beralih daripada mobiliti sosial. Itu penting. Inilah yang telah dibentangkan dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11," katanya kepada pemberita semasa forum 'Hari Membasmi Kemiskinan 2018: Bersama Merungkai Masalah Kemiskinan' di sini hari ini.

Beliau juga menekankan kepentingan agar tumpuan khusus diberikan kepada komuniti orang asli.

"Tetapi (hasil) perlu diukur. Tidak ada guna memberi bantuan tanpa menyelidik hasil perlaksanaan.

"Hasil tersebut tidak sewajarnya dibuat berdasarkan pendapatan, tetapi daripada pelbagai dimensi seperti yang kita buat melalui kajian separuh penggal,...seperti indeks pelbagai kemiskinan," katanya. - Bernama