PUTRAJAYA - Satu kajian lanjut dan mendalam perlu dilakukan kerajaan sebelum melaksanakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), kerana ia melibatkan implikasi undang-undang dan perlembagaan.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil berkata kajian perlu dilakukan oleh pihak kerajaan untuk melihat objektif sebenar ratifikasi.

Menurutnya, jika ia menyentuh hak-hak melayu, bahasa melayu dan kuasa Raja-raja Melayu di bawah Perlembagaan Persekutuan, maka ICERD tidak boleh diratifikasikan.

"Perlembagaan adalah sosial kontrak terbaik bagi menguruskan kepelbagaian kaum di negera ini dan ia perlu dipertahankan.

Namun, diskriminasi kaum yang melibatkan sosioekonomi, peluang pekerjaan dan keadilan hidup sesama rakyat pelbagai kaum perlu dihapuskan,"katanya.

Tegasnya jika ratifikasi ICERD melibatkan perkara ini, ia tidak seharusnya dipolemikkan kerana kemajuan negara ini tidak akan dapat dipacu dengan baik sekiranya kita masih terperangkap dengan sentimen perkauman.

"Malaysia yang lebih maju, makmur dan berdaya saing harus dibina atas premis keadilan untuk semua kaum.

Kebimbangan saya adalah jika sentimen perkauman ini semakin dihangatkan, ia akan meningkatkan ketegangan antara kaum sedangkan rakyat Malaysia tidak kira kaum berhak untuk menikmati kehidupan yang adil sesama kaum,"katanya.

Tambahnya lagi, Melayu akan lebih berjaya jika berani bersaing secara merit dan saingan sihat akan memberikan faedah kepada negara.