KUALA LUMPUR - Pemuda Umno meramalkan kerajaan akan membatalkan atau meminda pelaksanaan Potongan Gaji Berjadual (PGB) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selepas mesyuarat Kabinet esok.

Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Sufian Hamdan berkata, ini berikutan ramai pemimpin dan wakil rakyat PH sendiri menentang cadangan tersebut.

“Boleh bayangkan lepas mesyuarat Kabinet esok, cadangan dibatalkan atau dipinda. Sebab ‘game’ macam ini dah jadi kelaziman sekarang.

“Banyak perkara lain bawah kerajaan PH ini dia yang cadang, dia yang ‘gostan’ (undur). Lepas itu dia jadi hero kami dengar suara rakyat,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: PTPTN sedia pertimbang rayuan peminjam]

Sementara itu, Exco Pemuda Umno, Fadzmel Fadzil pula berkata, pelaksanaan PGB  hanya akan menekan golongan berpendapatan sederhana dan sederhana rendah ditambah kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Saya rasa mekanisme yang diperkenalkan PTPTN dulu lebih elok dan boleh ditambah baik.

“Jangan hanya dibuai kuasa, nak rombak semua sampai kesilapan demi kesilapan terjadi. Air beriak tanda tak dalam, biar beringat langsung demi rakyat,” katanya.