KUALA TERENGGANU - Perkahwinan sejenis melibatkan bintang Hollywood dikhuatiri menjadi ikutan dan budaya secara senyap-senyap dalam kalangan individu beragama Islam di negara ini.

Malahan, penularan budaya dengan gelaran ‘kunyit’ sebagai label terhadap golongan itu memberi gambaran terhadap perkembangan yang tidak sihat dalam peradaban masyarakat Islam di negara ini.

Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Zon Timur, Mahadi Awang berkata, bagi menangani perkara itu, trend perkahwinan sejenis wajib dibendung kerana ia secara terangan bertentangan dengan fitrah kehidupan.

Menurutnya, asas didikan agama, latar belakang keluarga dan kebijaksanaan ibu bapa dalam mencorakkan gaya kehidupan anak-anak juga memainkan peranan penting dalam mengatasi perkara itu.

“Perkara utama yang perlu dibendung dari berlakunya perkara sebegini ialah gejala gay yang mana ia berpotensi menghancurkan institusi masyarakat iaitu institusi kekeluargaan dan sosial.

“Bagaimana zuriat nak berkembang sekiranya pasangan kita adalah kaum sejenis? Sekiranya perkara ini berleluasa, ia akan memberikan kesan tidak baik yang melibatkan keruntuhan moral masyarakat,” katanya.

Mahadi berkata, walaupun banyak contoh larangan terhadap perlakuan itu, ia tidak cukup untuk menimbulkan kesedaran terhadap budaya itu tanpa adanya kesedaran sendiri.

“Islam mengutamakan kemaslahatan dan kebaikan semua. Perlakuan atau hubungan sejenis adalah perbuatan terlaknat dari sudut agama.

“Kecaman terhadap perbuatan tersebut sehinggakan Nabi Muhammad SAW tidak mengaku sebagai umat bagi pelaku homoseksual dan hubungan sejenis ada banyak sebab, antaranya menjejaskan kesihatan dengan terdedah kepada penyakit kelamin,” katanya.

Justeru, katanya, masyarakat perlu mengambil tanggungjawab untuk membasmi budaya gay dengan menuntut ilmu agama yang sebenar.

“Banyak ruang bagi mereka yang terjebak dalam kancah ini untuk bertaubat dan kerjasama anggota masyarakat perlu untuk menyokong ke arah perubahan yang lebih baik dan meninggalkan dunia gelap itu,” katanya.

Terdahulu, penyanyi popular Ricky Martin mencuri perhatian dunia apabila mengumumkan telah berkahwin dengan lelaki pujaan hatinya, Jwan Yosef.

Pelantun lagu hit Livin' La Vida Loca itu berkongsi cerita ketika ditemu bual E! pada 10 Januari lalu ketika menghadiri tayangan rancangan televisyen terbarunya, The Assassination of Gianni Versace: American Crime Story.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :