KEMAMAN - Rakyat diminta tidak meragui kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana sudah terbukti tentera mampu mempertahankan setiap inci tanah air sehingga sekarang.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, pihaknya berharap rakyat dapat terus memberikan kepercayaan kepada tentera untuk terus menjaga keamanan negara.

"Yakinlah bahawa tentera berkemampuan dan mampu mempertahankan setiap inci tanah air. Jangan ada sedikit pun perasaan bahawa kita tak mampu sebab kita dah tunjukkan kemampuan kita.

"Tapi pada masa sama juga ketahanan dan pertahanan sebuah negara itu juga bukan hanya bergantung pada pada ATM sahaja tetapi ia juga bergantung kepada keseluruhan kesatuan rakyat yang akan menentukan negara terus merdeka dan maruah terpelihara," katanya

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Semarak Merdeka Parlimen Kemaman yang diadakan di Padang Astaka Chukai dan dibanjiri kira-kira 10,000 pengunjung, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Mengulas mengenai majlis itu yang dicetuskan Ahmad Shabery bagi meraikan beliau selepas dilantik mengetuai ATM, Raja Mohamed Affandi mengakui sangat teruja kerana sambutan diterima, di luar jangkaan.

"Dari riak wajah kesemua penonton yang hadir mereka kelihatan sangat gembira sebab sudah lama tidak melihat persembahan dan pertujukan sebegini.

"Malah, Datuk Seri Ahmad Shabery sendiri secara peribadi berkongsi mengenai pengalaman kanak-kanaknya yang melihat pertunjukan tentera ketika itu dan hari ini kanak-kanak yang melihat persembahan ini mereka akan ingat suatu hari nanti selepas dewasa," katanya.

Menurut beliau, menerusi program kerjasama antara Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan ATM, satu nafas baharu sambutan kemerdekaan diberikan untuk semarakkan lagi sambutan kemerdekaan negara yang bakal tiba pada 31 Ogos nanti.

"Ini yang cuba diketengahkan Datuk Seri Ahmad Shabery agar semangat merdeka ada dalam setiap diri rakyat dan dapat bersama-sama mempertahankan negara, " katanya.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, kerjaya sebagai tentera tidak boleh dipandang rendah kerana pengorbanan tentera sangat tinggi demi mempertahankan negara agar rakyat dapat hidup senang.

Katanya, kekayaan dan keselesaan hidup yang dimiliki tidak akan bermakna tanpa keamanan dan kemakmuran negara.

Pada majlis perasmian itu, pelbagai persembahan dan pertunjukan tentera dipertontonkan termasuk terjunan bebas dari udara.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membelanjakan sebanyak RM48.22 juta bagi keperluan perubatan anggotanya dari Januari hingga November lepas.
  • KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap siaga, menunggu isyarat dan arahan daripada pucuk pimpinan dan payung negara untuk menyumbang peranan sewajarnya dalam isu Baitulmaqdis.
  • KUALA LUMPUR - Projek pembinaan poliklinik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta menaik taraf Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) akan dipercepatkan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
  • KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan menyasarkan untuk membina 25,000 unit rumah mampu milik untuk anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara menjelang tahun 2030 menerusi Program Satu Anggota Satu Rumah (SaSaR).
  • KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menyediakan hospital medan yang dilengkapi peralatan perubatan bagi Misi Kemanusiaan Pelarian Rohingya di Chittagong, Bangladesh pada bulan ini.