KUALA LUMPUR - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahasa Melayu tidak boleh diabaikan dalam isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Menurutnya, ketetapan bahasa Melayu sebagai tunjang dalam dasar pendidikan dan tiada tolak ansur dalam apa jua keadaan.

“Kita boleh pertimbangkan apa jua pun seperti mana wujudnya sekolah Arab yang boleh diiktiraf tetapi kita tidak boleh abaikan bahasa Melayu dan penguasaan bahasa itu dalam mana sistem pun,”  katanya.

Semalam, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyatakan kerajaan akan meneruskan rancangan untuk mengiktiraf UEC selaras manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lepas.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan membuat ‘pusingan u’ atau dilihat flip-flop dalam perkara itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Rancangan iktiraf UEC akan diteruskan]

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau percaya Dr Maszlee cukup berwibawa untuk menyelaraskan segala isu-isu yang berbangkit berhubung isu tersebut.

Katanya lagi, dalam perbincangan bersama tokoh pendidikan Cina, mereka turut memberi jaminan isu bahasa Melayu bukan satu masalah bagi mereka.

“Kalau begitu, menteri boleh menetapkan ini boleh dimeterai dalam satu peraturan dan undang-undang yang jelas supaya tidak ada tanggapan bahawa dasar pendidikan dikorbankan kerana semata-mata pertimbangan politik baharu,” katanya - Astro Awani.