KUALA LUMPUR - Ahli Dewan Rakyat diingatkan agar menjaga tingkah laku sepanjang berbahas di persidangan sesuai dengan titah Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhamad V ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Parlimen ke-14.

Datuk Johari Abdul (PH-Sg Petani) berkata dalam sesi-sesi persidangan yang lalu, ahli-ahli dewan sering bertikam lidah serta cabar mencabar antara satu sama lain.

“Ini teguran daripada baginda. Sesi-sesi lepas, kita menyaksikan ramai YB bertikam lidah menggunakan kata-kata kesat dan ‘unparliamentary’ (tidak mengikut peraturan Parlimen) serta lucah.

“Malah ada insiden YB mencabar satu sama lain untuk bertumbuk di luar dewan. Ada yang menggunakan orang luar untuk memukul ahli Parlimen. Ada yang merasa jaguh, rasa hebat boleh maki dan cerca orang tapi bila dia kena maki, dia melenting,” katanya ketika membahaskan titah Yang Dipertuan Agong, hari ini.

Dalam ucapan perasmian semalam, Baginda bertitah percaya wakil rakyat akan mengambil bahagian dalam perbahasan yang matang, sihat serta dapat merangsang dinamik berfikir supaya institusi Parlimen terus dihormati, dipandang tinggi oleh rakyat dan dunia luar.

Dalam pada itu, Johari menegaskan Dewan Rakyat bukan tempat menunjukkan kehebatan atau sikap samseng oleh wakil rakyat.

“Kadang-kadang apabila seseorang itu menyuarakan pendapat seolah-olah dia cuba menunjukkan personaliti sebenar. Sama ada dia tak bertamadun atau sesuatu yang tak kena dengan cara dia dididik.

“Semua maklumat di hujung jari, perlakuan YB akan ditonton dunia luar. Rakyatlah yang akan mengadili kita. Hari ini kita di atas, rasa kita hebat tapi rakyat benci dan meluat dengan kita akhirnya rakyat hukum kita,” katanya.